Tanyalah kepada sesiapa jua, lebih-lebih lagi mereka yang baru melahirkan cahaya mata sulung. Pasti ada yang berkata serik, sakit dan tak mahu lagi lalui momen tragis di bilik bersalin ataupun dewan bedah. Tetapi selepas dua atau tiga tahun, Allah rezekikan untuk hamil anak kedua pula. Dan segala kesakitan yang telah dilupakan bertahun-tahun kembali segar dalam ingatan. Itulah antara nikmat dan anugerah yang Allah beri kepada kaum ibu. Sukar untuk digambarkan perasaannya. Walaupun ada yang perlu menunggu lama, tetapi percayalah Dia akan beri pada waktu tepat lagi terbaik.

A post shared by Ummi Nazeera (@umminazeera)

Kredit Foto: IG Ummi Nazeera

Pengalaman Mengandung
Bagi ibu-ibu yang sedang hamil ataupun pernah berpengalaman hamil sebelum ini pastinya mempunyai cerita tersendiri. Ada dalam kalangan kita yang cukup senang melalui proses mengandung. Tiada alahan teruk, tak mengidam atau kepingin makan makanan yang susah dicari, tidak diuji dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Pendek kata semuanya mudah.


Tetapi ada juga di antara para ibu yang diuji dengan pelbagai dugaan ketika dalam proses bergelar ibu. Alahan yang teruk, morning sickness yang berlarutan hingga berbulan bahkan sepanjang kehamilan, keluar masuk hospital kerana pelbagai komplikasi, masalah fibroid, HB terlalu rendah, air ketuban yang tidak cukup dan banyak lagi. Sungguh, percayalah setiap pengalaman semasa hamil bagi setiap anak itu berbeza jalan ceritanya. Ada yang anak sulungnya mudah sahaja proses kehamilannya. Tetapi tidak bagi anak kedua, ketiga dan seterusnya.

A post shared by NURULAIN BT EDRUCE (@ainedruce)

Kredit Foto: IG Ain Edruce

Dari situ lagi kita dapat pelajari bahawasanya setiap anak ini berbeza karakter, pembawaan diri dan tingkah lakunya. Sejak dari dalam perut ibu lagi ibu perlu lalui pelbagai ujian dan dugaan. Itu belum dikira lagi ada yang tidak direzekikan untuk merasai tempoh hamil seperti wanita lain. Ada yang Allah uji dengan masalah keguguran akibat daripada pelbagai faktor dan sebagainya. Hanya para ibu yang cekal, tabah dan kuat sahaja bisa mengharungi semua ini.


Sekali gus ia memberi pengertian dan pengajaran untuk kita mengingati kembali pengorbanan emak-emak kita dahulu sewaktu mengandungkan kita sembilan bulan 10 hari lamanya. Bukan calang-calang sukarnya. Malah zaman emak-emak kita dahulu ada kekurangan dan kelebihannya. Walau macam mana susah, sakit sekalipun tetap gagahkan diri masuk ke dapur dan memasak selain melakukan kerja-kerja rumah yang lain.

A post shared by Ayuraudhah_7 (@ayuraudhah_7)

Kredit Foto: IG Ayu Raudhah

Begitu juga dengan para ibu zaman sekarang. Cabarannya tetap ada cuma kondisi yang berbeza. Apa yang penting, para ibu perlu kekal tenang, relaks dan positif menghadapinya. Benar, tidak dinafikan bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan hormon, keadaan semasa dan lain-lain. Tetapi itulah nikmat pemberian Allah kepada wanita hamil. Tak semua bertuah dapat merasainya. Apabila berpeluang maka berlapang dadalah menerimanya. Pasti ada hikmah yang dijanjikan buat kita. Ketahuilah Allah S.W.T mencatatkan bagi wanita hamil setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan. Allahu Akbar… Besarnya ganjaran Allah berikan.


Debaran Bersalin
Sama ada bersalin secara normal ataupun melalui pembedahan masing-masing punya pro dan kontranya. Begitu juga dengan saat menanti waktu untuk melahirkan. Debaran bersalin bagi anak sulung, kedua dan seterusnya tetap berbeza. Takut, teruja, berdebar semua bercampur-baur. Apatah lagi dengan situasi penularan Covid-19 ketika ini, suami tidak lagi dibenarkan menemani isteri hingga ke dewan bersalin. Sudah pasti emosi si ibu perlu kuat, kental dan kekal positif mengharungi saat sukar dan mencabar ini.

Kredit Foto: Google

Berbalik mengenai pengalaman saat melahirkan, penulis sendiri bersyukur dapat merasainya dalam dua situasi berbeza. Anak sulung lebih mencabar dan sukar saat melahirkannya. Hanya selepas tujuh jam menahan sakit, bagaikan berperang dan berjuang mahu mengeluarkan khalifah kecil ini sekali gus membuatkan rasa serik untuk melahirkan anak lagi. Dua kali muntah, demam dan bayi terpaksa dimasukkan ke NICU kerana tali pusat hampir terbelit selain bayi sudah mula tertelan najisnya sendiri. Lima hari di dalam wad, hanya selepas itu barulah boleh berpantang dengan tenang.


Dan pengalaman melahirkan anak kedua pula, syukur Allah permudahkan semuanya. Tidak sampai setengah jam masuk ke dewan bersalin, tangisan si kecil memecah suasana. Ya, memang mudah pada permulaannya. Tetapi selepas hari kelima, terpaksa dimasukkan ke wad semua susulan masalah demam kuning. Malah sepanjang berpantang, bayi pula diuji dengan masalah batuk. Benarlah pengalaman melahirkan setiap anak itu berbeza jalan ceritanya.

Kredit Foto: Google

Para ibu di luar sana pasti sama juga bukan? Sungguhpun begitu, inilah salah satu pemberian istimewa yang Allah titipkan buat wanita yang bergelar ibu. Hinggakan dalam sebuah hadis ada menyebut apabila seorang perempuan mulai sakit hendak bersalin atau melahirkan, maka Allah S.W.T mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan Allah S.W.T. Bukan itu sahaja, saat seorang wanita melahirkan anak, hilanglah dosa-dosanya seperti keadaan dia baru dilahirkan. Selain itu, wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa, serta setiap kesakitan pada satu uratnya Allah S.W.T mengkurniakan satu pahala haji. Subhanallah... Masya Allah, bersyukurlah anda andai saat ini sedang hamil dan bakal melahirkan umat Nabi Muhammad SAW ke dunia. Banyakkan istighfar dan bersabar untuk mengharungi pelbagai ujian kerana telah diganjarkan sebegitu besar pahala buat wanita istimewa ini.