Sekilas
- Joy mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia pada 25 April di Zepp Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) yang dihadiri lebih 1,500 ReVeluvs.
- Persembahan Joy merangkumi lagu-lagu hit seperti Hello, Je T’aime, La Vie En Bleu, serta runut bunyi K-drama yang mendapat sambutan hangat daripada peminat.
- Konsert ini turut menampilkan segmen interaktif dan momen peribadi antara Joy dan peminat, termasuk pembacaan surat dan persembahan acapella, menjadikan pengalaman lebih intim dan bermakna.
Siri jelajah, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH), menyaksikan Joy mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu meninggalkan kesan mendalam buat ReVeluvs.
2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) malah menjadi lebih bermakna kerana ia bukan sekadar sebuah persembahan pentas, tetapi turut menjadi medan pertemuan intim antara si idola dan ReVeluvs yang menanti kehadirannya sejak sekian lama.
Tidak mengecewakan, Joy yang membuka ‘pesta percikan cinta’ terhadap peminat dengan lagu Hello tampil memberikan persembahan terbaik di hadapan lebih 1,500 ReVeluvs.
Ruang Zepp Kuala Lumpur terus dimeriahkan dengan persembahan Joy apabila lagu hit seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu disampaikan, sebelum menghangatkan malam dengan beberapa siri lagu runut bunyi K-drama termasuk Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.
Malah, pemilihan lagu serta persembahan penuh energi Joy membuatkan peminat tidak keruan, terutama ketika Joy atau nama sebenarnya, Park Soo-young, menyapa ReVeluvs dengan mesra dan meluahkan kerinduan kepada mereka.
“Saya sangat merindui anda semua. Sangat hebat dapat berkumpul dan bertemu kembali seperti ini,” ujarnya.
Kehangatan Joy turut dirasai menerusi bakat tariannya yang mendapat sambutan luar biasa.
Aksi tarian Joy menerusi lagu Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo berjaya mengisi kerinduan peminat terhadap hit Red Velvet.
Pertemuan antara Joy dan ReVeluvs menjadi lebih intim dan peribadi apabila seorang peminat membaca surat yang ditulis khas buatnya.
Salah seorang peminat secara terbuka mengaku berjaya ‘selamat’ daripada masalah anxiety selepas ‘berkenalan’ dan menikmati karya Joy.
“Karya anda membuat saya rasa selamat dan menyentuh hati,” ujar Joy yang menerima jeritan peminat selepas membaca isi surat tersebut," tulisnya.
Momen yang sentiasa dinantikan peminat turut hadir pada segmen interaktif apabila Joy membuat persembahan secara acapela menerusi lagu Ice Cream Cake, sekali gus menyaksikan ‘kolaborasi’ istimewa antara Joy dan ReVeluvs.
Malam Joy Splash turut dilengkapi dengan persembahan Love Splash, Day by Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green oleh bintang tersebut.
Malah, segmen Joy ‘berbalas’ pesanan dan kasih sayang termasuk permainan teka lukisan bersama ReVeluvs memenuhi hasrat penghibur itu untuk mendekati peminat bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi sebagai idola yang mengamalkan komunikasi dua hala bersama mereka.
“Saya sangat gembira hari ini, terima kasih banyak!
“Melihat anda semua berkongsi momen manis dan menikmati Joy Splash membuatkan saya telah melakukan keputusan yang tepat dengan siri jelajah ini,” ujar Joy.
Kata-kata tersebut melengkapkan segmen encore Joy Splash dengan lagu popular kegemaran peminat daripada Red Velvet termasuk Zimzalabim, You Better Know serta Hello.
Salah seorang ReVeluvs, Wani, 30, menyatakan Joy adalah ‘cinta pertamanya’.
“Saya jatuh cinta dengan suaranya,” kata wanita itu yang memberitahu pertama kali mengenali Joy menerusi program realiti We Got Married.
Seorang lagi peminat Joy pula menyifatkan idolanya sebagai seorang yang hebat dengan personaliti menarik.