Filem belum tayang tetapi sudah ada suara-suara yang cuba mencetuskan kontroversi. (Hanya berdasarkan trailer)

Itulah yang menimpa filem Polis Evo 2 apabila segelintir pihak merasakan ia cuba mencerminkan umat Islam pengganas dan jahat. Hal ini dibangkitkan menerusi watak Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat.

Semalam, tayangan perdana telah pun berlangsung danapa yang boleh dikatakan ia langsung tidak mencerminkan apa yang cuba digembar-gemburkan di media sosial.


Sebaliknya kami sendiri melihat mesej yang cuba disampaikan sebenarnya lebih besar daripada tanggapan berkenaan. Filem ini mengangkat isu pengorbanan pihak berkuasa (polis khususnya) dalam memerangi jenayah tidak kiralah ekstremis ataupun tidak.

Polis Evo 2 kali ini lebih mengangkat emosi dalaman yang sering bergolak dalam diri seorang anggota polis. Jika anda di tempat mereka, adakah nyawa anda sendiri lebih penting atau orang awam.

Hakikatnya, pelbagai mesej positif telah diterapkan.

Kalau anda tonton filem ini dan pada masa yang sama baca lirik lagu Sang Saka Biru nyanyian Joe Flizzow, Altimet, SonaOne & Alif , anda akan faham sebahagian mesej cuba disampaikan dalam filem ini.

Kami sebab anak bangsa tidur nyenyak
Tidur kami pula tak lena tak kerap
Garuda gerak senyap harimau jalan tegak
Tiap hari semua keluar berentap


Secara keseluruhannya filem Polis Evo 2 telah memberi saingan sengit pada filem PASKAL. Senang kata, filem ini padat dengan aksi dan pada masa sama sungguh deep!

SUDAH BERTEMU MUFTI

Sementara itu Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, kesemua watak di dalam filem terbabit adalah rekaan semata-mata dan apa yang cuba dibangkitkan adalah isu kemanusiaan.

“Malaysia sendiri ada pendirian tegas menentang ajaran sesat dan akidah umat Islam. Jelas dalam filem ini ia memaparkan kesan buruk jika tidak ditangani. Malah ia juga memaparkan bagaimana penguatkuasa membanteras masalah ini.

“Pihak kami sudah bertemu Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Perlis untuk mendapatkan nasihat. Semua karakter yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata," katanya.

Jelasnya, penonton harus menonton filem ini terlebih dahulu kerana trailer saja tidak cukup untuk menggambarkan keseluruhan filem.

LULUS TAPISAN FILEM



Sementara itu, Lembaga Penapis Filem Kementerian Dalam Negeri telah pun mengeluarkan kenyataan yang mana filem Polis Evo 2 tidak mengandungi sebarang elemen yang boleh ditafsirkan sebagai memberi imej buruk terhadap agama Islam.

Anda boleh lihat kenyataan terbabit di bawah.


Apapun tunggu ulasan penuh kami tidak lama lagi.