ENTERTAINMENT
Saya Bukan Peminat Filem Animasi Tetapi Dihantar Menonton 'Spider-Man: Into The Spider-Verse' - Ini Ulasannya
Apabila kita kata tak suka kat sesuatu, perkara itu jugalah yang kita akan dapat. Contoh terdekat, apabila saya berkata saya tak suka menonton filem animasi, bam! editor saya memberikan tugasan menonton filem terbaharu animasi 'Spider-Man: Into The Spider-Verse'.
Berkesempatan menonton filem arahan Bob Persichetti dan Peter Ramsey ini, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi kerana tidak meminati filem animasi. Jadi, dengan hati yang berat saya melangkah masuk ke pawagam berbekalkan sebakul bertih jagung dan air mineral. 

Tanggapan pertama apabila 10 minit filem ini berlalu, not bad! Betul, ia tidaklah seteruk yang disangka kerana filem animasi kadang-kala boleh jadi terlalu berkecamuk. Mengapa saya kata filem ini not bad?
1. Jalan cerita
Kelakar! 'Spider-Man: Into The Spider-Verse' bukan filem tipikal Peter Parker. Ia mengisahkan seorang remaja lelaki bernama Miles Morales yang digigit labah-labah radioaktif dan kemudian bertukar menjadi Spider-Man. 

Kehidupan normalnya bertukar kecoh apabila dia terpaksa berdepan dengan penjenayah bersama empat karekter Spider-Man lain iaitu Peter Parker, Spider-man Noir, Spider Gwen, Peni Parker dan Spider Ham. Jalan ceritanya segar dan tidak seperti filem adiwira lain yang mudah dijangka.
Sepanjang filem ini juga ada plot twist yang akan memberikan anda kejutan. Namun, akibat jalan cerita yang sedikit meleret, membuatkan saya mengantuk lalu tertidur hampir 10 minit. Mujur bila terjaga, saya masih faham jalan cerita. Ada ketikanya saya terlelap lagi, jenuh saya tahan mata hingga ke klimaks cerita. 

Walau Miles merasakan kehidupannya bosan, saya rasa dia punya kehidupan yang menggembirakan! Ada babak Stan Lee yang membuatkan saya bergenang air mata.
2. Animasi yang meletop!
Sejujurnya, saya jarang tonton filem animasi tempatan mahupun antarabangsa. Namun apa yang boleh saya katakan tentang filem ini, animasinya begitu cantik hingga saya tak tahu nak fokus mana satu. Menggunakan elemen komik, pop art serta letusan warna memberikan filem ini tenaga dan membuka mata anda. 

Favorite saya adalah apabila animasi pertukaran dimensi serta grafiti yang dilukis oleh Miles ditemani pakciknya, sangat WOW!
Suara yang digunakan disebalik watak juga tepat. Shameik Moore (Miles Morales), Jake Johnson (Peter B. Parker), Hailee Steinfeld (Gwen), Mahershala Ali (Uncle Aaron), Nicolas Cage (Spider-Man Noir), Liev Schreiber (Wilson Fisk), Chris Pine (Peter Parker), Post Malone (Brooklyn Bystander) serta Stan Lee cukup menghidupkan filem ini.
3. Rakan seperjuangan Spider-Man
Tepukan gemuruh perlu diberikan kepada rakan-rakan seperjuangan Spider-Man. Sewaktu pengenalan diri mereka satu demi satu, epik! Selain Miles Morales sendiri, Gwen, Peter Parker, Spider-Man Noir, Peni Parker dan Spider Ham juga membawakan warna dalam karakter masing-masing. 

Kerjasama mereka berkongsi kekuatan masing-masing untuk menumpaskan geng orang jahat cukup padat. Sejarah kewujudan Peni Parker dan robotnya, Spider-Man Noir, Peter Parker dan Mary Jane serta Spider Ham juga sangat menghiburkan. Mata saya segar bugar ketika menonton babak Miles Morales dan rakan-rakannya.
Apa yang best dan apa yang kurang?
Bagi pendapat saya (tidak mewakili editor saya yang merupakan peminat animasi), filem ini menghiburkan. Adakah saya akan sukakan genre animasi selepas ini, mungkin tidak.
Namun saya sahut cabaran yang diberikan untuk menonton filem ini dan hasilnya, 'Spider-Man: Into The Spider-Verse' memang not bad. Selaku orang yang tidak gemarkan filem animasi, ini pencapaian yang agak baik 

Elemen humor dalam filem ini menjadi. Watak ibu Miles Morales yang berbahasa latin juga saya suka. Runut bunyi dan grafik yang digunakan, memang A+.
Namun, jalan cerita yang meleret dan agak panjang membuatkan saya sedikit bosan. Keseluruhannya, ada bahagian yang saya ketawa dan ada bahagian yang saya tertidur.
Sorry Miles Morales, sila cuba lagi lain kali.
Berapa bintang 'Spider-Man: Into The Spider-Verse'?
(3.5/5)
'Spider-Man: Into The Spider-Verse'akan mula berada di pawagam berhampiran anda bermula esok, 7 Disember 2018. Mendapat rating 100% di Rotten Tomatoes dan 8.9/10 di IMDb, pergilan menonton jika anda gemarkan animasi dan adiwira digabungkan dalam satu filem. Tak rugi.
Oh, pastikan anda tunggu sehingga akhir kredit yang kedua sebelum keluar panggung!
Must-Watch Video