Tiga tahun menyepi daripada industri perfileman tanah air bukanlah nokhtah pada pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri merajuk untuk menghasilkan filem baru. Mengikut trek rekodnya sebagai pengarah selama hampir dua dekad, dia sudah mencuba pelbagai genre untuk menarik perhatian penonton.

Filem Remp-it dan Jangan Pandang Belakang antara karya yang menjadi pencapaian terbaiknya dalam bidang pengarahan yang meraih sambutan menggalakkan daripada penonton. Setiap pengarah mempunyai sentuhan tersendiri dalam karya, begitu juga Ahmad Idham yang tidak patah semangat menghasilkan karya baru untuk berjuang dan memeriahkan pasaran filem tempatan.

Terbaru, Ahmad Idham muncul dengan melakukan satu lagi eksperimen terhadap genre filem baru iaitu mengangkat kisah model muslimah ke layar perak. Mengambil inspirasi penganjuran acara Festival Fesyen Islam yang sering dianjurkan Datuk Seri Shah Rezza, kisah seumpama ini dijadikan tarikan pada penonton untuk menontonnya apabila ditayangkan di pawagam kelak.

Ahmad Idham yang bertindak sebagai penasihat dan produser bersama filem ini menyatakan filem berjudul Mia Tiara terbitan Tenview (M) Sdn Bhd ini mempunyai potensi sebagai usaha mengetengahkan model muslimah untuk tontonan khalayak. Akuinya, meskipun filem sebegini tidak berani diterbitkan produser lain, dia percaya jika hasilnya dibuat dengan betul, filem ini boleh dijual sehingga ke pasaran filem antarabangsa khususnya di negara anggota seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

"Sejak hari pertama saya mengarah filem, saya keliru dengan konsep membawa filem tempatan ke persada dunia. Filem kita sebenarnya tidak pernah menjelajah ke seluruh dunia.

"Saya sendiri pernah mencuba filem genre sebegini seperti Syurga Cinta dan Aku Masih Dara yang berjaya meraih kutipan 'box-office'. Sudah pasti risiko tinggi apabila menjadi 'trendsetter' filem sebegini kerana tidak ramai produser yang berani buat," katanya pada sidang media filem Mia Tiara di Hulu Klang, Selangor, semalam.

Tambahnya, filem yang akan membelanjakan kos produksi antara RM1 juta sehingga RM1.2 juta ini dijangka menjalani penggambaran pada April 2017 dan tayangannya pada penghujung tahun depan. Ia menampilkan Fathia Latiff, Siti Shahrizah Saifuddin (Eja) dan Faizal Hussein sebagai pelakon utama dibantu Nadia Shahab, Amar Asyraff, Izzue Islam, Julia Ziegler dan Hafreez Adam.