Dikenali menerusi penganjuran festival filem bertaraf antarabangsa mampu memberi impak besar pada industri filem tempatan dan penggiat seni untuk pergi jauh. Paling penting, acara sebegini sebagai platform penggiat seni tempatan menimba ilmu daripada pembikin filem antarabangsa seperti Hollywood dalam menghasilkan filem yang lebih bermutu.

Dua acara terbaru, Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFEST) dan Malaysia Golden Global Awards (MGGA) akan diadakan di sini dalam masa terdekat dalam membuka ruang baru pada penggiat filem antarabangsa datang ke sini berdiskusi dan menayangkan filem mereka.

Pengarah Programming acara tersebut, Datuk Kamil Othman berkata, kedua acara ini akan disertai 18 filem dari 18 negara yang bertanding termasuk Malaysia, United Kingdom, Perancis, Hong Kong, China, Korea dan Singapura. Filem arahan Dain Said iaitu Interchange bertanding mewakili negara manakala Redha ditayangkan pada umum.

"Sebuah syarikat, Jazzy Group bertanyakan pada saya jika ada halangan untuk menganjurkan festival filem antarabangsa. Saya ketika itu sebagai Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menyatakan FINAS tiada halangan pada sesiapa yang mahu jadi penganjur tetapi ia perlu mendapat kebenaran tertentu seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika acara itu mahu dibuat di sini dan filem yang bertanding perlu ditapis Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Mereka (penganjur) kemudian bersetuju dan FINAS tidak mengeluarkan 1 sen pun duit tetapi memberi sokongan pada acara ini. Kita sememangnya kekurangan festival bertaraf antarabangsa dan saya gembira apabila penganjur menyatakan filem yang bertanding dinilai juri antarabangsa," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Rojak Daily Kaw! di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Filem Redha ditayangkan sempena penganjuran Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFEST) yang akan berlangsung di NU Sentral, Kuala Lumpur pada 28 Februari sehingga 4 Mac ini.

Tambahnya, kedua acara ini bukan hanya pesta memberi anugerah tetapi memberi ruang pada pelbagai filem dari serata dunia untuk ditayangkan di sini sepertimana dilakukan festival filem di Cannes, Perancis.

"Kita pernah ada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) suatu ketika dulu yang menjelma dan hilang. Justeru, apabila acara sebegini dianjurkan seratus peratus pihak swasta, ia dapat dijadikan acara tahunan. Sebagai langkah permulaan, kita kena beri galakkan pada acara sebegini dan ia bukan hanya mengatakan kita bersikap nasionalisme tetapi membuktikan Kuala Lumpur dan Malaysia memang boleh menjadi tuan rumah festival filem antarabangsa terutama dalam keadaan sekarang pandangan orang luar fikir negara kita tak boleh buat.

"Malah, menerusi penganjuran pihak swasta, ia menjadi satu 'business proposal' untuk mereka mencari penaja tanpa batasan. Sasaran acara ini adalah untuk peminat filem yang belum didedahkan dengan filem antarabangsa. Ini peluang pada mereka untuk tonton termasuk golongan pelajar perfileman, generasi Y, graduan dan penggiat seni untuk hadir.

"Saya beritahu penganjur, jika penggiat seni datang, boleh diadakan 'masterclass' dan bengkel. Kedua acara ini membawa tema kemanusiaan dan universal iaitu bermaksud cerita yang berlaku di negara lain tetapi asas atau jiwa filem itu adalah bersifat satu dunia yang difahami bersama. Bagi Gen Y pula, pendedahan acara ini bakal menghasilkan filem tempatan akan menjadi suatu yang berbeza daripada sekarang," katanya sambil menyokong pandangan Adman Salleh yang mahu penggiat filem banyak melakukan kajian terhadap sejarah filem dan menimba ilmu (Baca lagi: [Eksklusif] Filem Tempatan Tidak Jelas, Kita Hanya Boleh Buat Filem Darai).

Acara MIFFEST akan diadakan di NU Sentral, Kuala Lumpur pada 28 Februari sehinggi 4 Mac ini manakala MGGA akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang (5 Mac).