Seperti mana pengiat seni dan peminat tahu pengarah terkenal, Mamat Khalid kini berusaha menghasilkan filem terbaru yang mengangkat perjuangan orang Melayu menentang penjajah British di Pasir Salak.

Sebagai anak jati Perak, sudah tentu projek filem genre epik ini sesuai dengan Mamat sendiri yang lebih arif tentang latar belakang kawasan berkenaan apatah lagi mengakui sudah membuat kajian selama 18 tahun mengenai sejarah di situ. Sebelum ini, tokoh perfileman tanah air, Tan Sri Jins Shamsuddin pernah mempunyai impian menghasilkan filem yang sama tetapi ia tidak kesampaian.

Jelasnya, filem ini akan memberi fokus pada watak Datuk Maharaja Lela dan Tok Sagor menentang penjajah British diketuai JWW Birch. Malah, skrip filem ini sudah siap dan dijangka penggambaran pada tahun depan dengan kos produksi sebanyak RM6 juta, seperti dilaporkan Berita Harian.

Akuinya, ia bukan kerja mudah untuk menghasilkan sebuah filem epik kerana ia memerlukan kajian yang teliti sebelum pemilihan pelakon dibuat. Mamat pernah memberitahu filemnya kali ini adalah naskhah baru dan tiada kena mengena atau menjadi kesinambungan projek asal Jins.

Filem ini juga atas kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dengan kerajaan Negeri Perak akan menjadi kebanggaan pada penonton tempatan khusus masyarakat Perak sendiri meskipun sejarah kutipan filem epik sebelum ini sukar meraih kutipan yang memberangsangkan. Persoalannya, mungkinkah filem Pasir Salak ini nanti mampu menandingi kehebatan filem Puteri Gunung Ledang.