LIFESTYLE
"Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Penghantar Di Sekolah, Budaya Bahaya Dari Segi Kenegaraan" - Tan Sri Dr Rais Yatim
Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan agar Kementerian Pendidikan melaksanakan projek perintis di beberapa sekolah rendah dan sekolah menengah terpilih di kawasan bandar termasuk Maktab Sabah yang dilihat berpotensi dan bersedia menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran menerima reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.
Ahli Parlimen Kota Belud itu juga mencadangkan sekolah kerajaan aliran Inggeris diwujudkan semula di Sabah dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri itu. Cadangan ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam melahirkan ramai modal insan Sabah yang menguasai bahasa antarabangsa itu.
Bagaimanapun, beliau menyatakan cadangan berkenaan tidak bermaksud membelakangkan kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Katanya pada Bernama, cadangan tersebut tertakluk pada negeri Sabah dan menjadi pilihan pada negeri lain jika mahu mengikutinya.
Nyata, reaksi itu turut disuarakan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menerusi laman sosial Twitter akaunnya hari ini menyifatkan cadangan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di sekolah adalah budaya bahaya dari segi kenegaraan.
Beliau sebelum ini ada menggariskan 7 perkara dasar menerusi Kongres Budaya 2017 yang lalu antaranya kedudukan bahasa Malaysia ditegakkan sebagai bahasa induk, bahasa ilmu dan bahasa perdagangan yang mengangkat martabat bahasa ini.
Tambahnya seperti dilaporkan Utusan Online, aspek perpaduan sesama bangsa dan kaum mesti diperkasakan kembali dengan menyuburkan Rukun Negara yang juga menjadi instrumen perundangan di mana setiap rakyat pelbagai kaum mengetahuinya sebagai pusaka negara bangsa Malaysia.
Must-Watch Video