Bagaimana dengan hanya bergelar suri rumah, boleh pergi berjalan-jalan mengelilingi dunia dan membuat keuntungan hampir RM5,000 sebulan? Inilah yang membawa Saadiah Shaari, seorang bekas suri rumah sepenuh masa yang kini bergelar personal shopper.



Menurut ibu kepada enam orang anak ini, dia memulakan perniagaan online dan personal shopper ini sejak lima tahun lepas ketika anaknya menyambung pengajian di Amerika Syarikat (AS). “Ketika anak saya belajar di AS dan saya berpeluang melawat dia di sana, saya dapat tahu yang barangan berjenama di AS jauh lebih murah dari Malaysia. Saya menawarkan perkhidmatan personal shopper dengan membeli barangan berjenama untuk anda dan ini termasuklah beg tangan, jam tangan, aksesori, barangan dapur, pinggan mangkuk dan sebagainya. Request anything, I’ll buy for you”.



Berperanan sebagai personal shopper telah membawa Saadiah mengembara ke beberapa negara serata dunia antaranya AS, United Kingdom (UK), Perancis, Belgium, Amsterdam, Itali dan Jerman. Kebiasaannya, Saadiah akan pergi bersama dengan anaknya, Aina Amalia, 24, untuk membeli barangan yang dipesan oleh pelanggan. “Kini saya kerap ke UK kerana salah seorang anak saya turut menyambung pengajiannya disana jadi dah jimat kos penginapan”. Menceritakan antara jenama yang menjadi kebiasaan bagi Saadiah membeli-belah adalah Louis Vuitton (LV), Christian Dior, Prada, Chanel, Gucci, Furla, Tods, Cath Kidston, Longchamp, Polo Ralph Lauren, Omega, Hard Rock, Coach, Kate Spade, Marc Jacobs, Michael Kors, Fossil serta jenama barangan dapur Corelle, T-fal, Kitchenaid, Pyrex serta Corningware.



Sebelum berlepas ke mana-mana destinasi, Saadiah akan mengiklankan tempahan awal barangan LV, Chanel, Gucci dan Christian Dior tersebut dengan menggunakan gambar dari laman web jenama tersebut di media sosialnya. Jika ada pelanggan yang berminat, dia akan mengambil deposit sebanyak RM1,000 ke RM2,000 ataupun separuh dari harga beg jika harga asalnya melebihi RM10,000. Kemudian Saadiah akan membuat tempahan tiket kapal terbang menggunakan aplikasi Skyscanner sebulan sebelum tarikh dia merancang berlepas. Apabila sampai ke satu-satu destinasi, dia akan terlebih dahulu pergi ke outlet jenama mewah ini untuk mengambil gambar beg dan memberikan live update di media sosialnya.



Menurut Saadiah, “Barangan di outlet selalunya lebih murah berbanding butik kerana di outlet barangannya terlepas musim jadi ada diskaun lebih. Tapi bagi mereka yang menempah beg jenama LV, saya akan terus ke butik kerana LV tiada outlet. Saya akan menghabiskan masa selama satu ke dua minggu untuk membeli barangan ini dan setibanya kembali di Malaysia, saya akan memberitahu pelanggan dan meminta bayaran penuh. Ada barangan yang saya hantar dan ada yang dipos dalam tempoh tiga ke empat hari selepas bayaran penuh telah diselesaikan”, jelas Saadiah lagi.

Setelah lima tahun menjadi personal shopper, perniagaan Saadiah semakin berkembang kerana dia aktif menggunakan media sosial terutamanya Facebook Dee Jns, serta Dee Jns Exclusive Coach dan Instagram, Dee Jns. “Kini saya mempunyai lebih 8,000 pelanggan dimana ada yang mengenali perkhidmatan saya di media sosial dan juga melalui teman-teman rapat."



Banyak berjalan, luaslah pemandangannya. Sepanjang bergelar personal shopper, banyak kenangan manis yang Saadiah perolehi antaranya pernah sekali dia ke Milan, butik Furla disana membuat jualan murah kejutan sebanyak 40% dan Saadiah membeli hampir 20 buah beg tangan untuk dijual kepada pelangganya. Di Milan juga dia berpeluang merasai peluang berpuasa selama 20 jam (Sahur jam 2 pagi dan berbuka jam 10 malam) namun tidak terasa penat langsung. Di London pula, dia telah membuat kenalan dengan pembantu-pembantu butik LV dan ini memudahkan kerjanya untuk berhubung jika mahu ke sana untuk membeli beg tangan.



Saadiah juga tidak terlepas dari merasai pengalaman pahit. “Paling saya kecewa apabila tidak dapat penuhi permintaan pelanggan. Butik jenama mewah seperti LV, Christian Dior dan Chanel selalunya mengehadkan seorang boleh membeli tiga ke lima buah beg tangan sahaja dan tempahan yang masuk selalunya 10 ke 15 buah beg tangan. Jadi bila barangan telah dihadkan, saya tak dapat nak beli. Kemudian terlebih berat luggage ketika di airport jangan cakaplah. Jika saya membeli barangan yang berat seperti barangan dapur atau pinggan mangkuk, ia akan dihantar menerusi shipping dan barang akan sampai tiga bulan kemudian”, cerita Saadiah.

Dia juga tidak terlepas dari berhadapan dengan karenah pelanggan. Menurut Saadiah, “ada pelanggan yang dah beri deposit duit setengah tapi bila barang sampai, tak nak sambung bayar dan mahukan deposit tu balik. Jadi masalah pada saya jika beg yang ditempah terlalu mahal, agak susah untuk saya jual balik. Tapi hanya segelintir sahaja yang memberikan masalah begini."



Bagaimana seorang ibu ini boleh membahagikan masanya diantara keluarga dan kerjayanya? Menurut Saadiah, dia bersyukur mempunyai sebuah keluarga yang sangat memberikan sokongan. “Walaupun suami saya merupakan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak, dia tidak pernah menghalang dan sangat memberikan galakan. Kadang-kala suami saya akan memberikan kad kredit tambahan untuk saya guna kerana kalau ada pelanggan yang menempah beg tangan berharga RM20,000, saya bayar guna kad kredit. Wang tunai saya hanya guna untuk membeli barangan yang telah ditempah awal sahaja." Kalau beg tangan berharga RM20,000 pun ada peminatnya, apatah lagi beg Birkin dari jenama Hermes ini yang berharga RM1.2 juta!



Jika anda peminat barangan berjenama mewah ini, Saadiah menasihati anda untuk beli dari penjual yang sah dan dipercayai serta tidak mudah tertipu dengan mereka yang menjual barangan tidak asli ataupun bergred. “Beg tangan berjenama yang dibeli terus di negara pengeluar ini jauh lebih murah dan updated berbanding di Malaysia. Jika di Johor Premium Outlet (JPO), sebuah beg tangan Coach dijual dengan harga RM1,000 namun jika dibeli di AS, hanyalah RM600 sahaja. Kadang-kala perbezaan harga itu hampir ke RM1,000 hingga RM2,000. Jadilah pengguna yang bijak, jangan tertipu kerana mahu harga yang murah dan buatlah survey terlebih dahulu”, pesannya di akhir perbualan.