Sikap kita adalah cerminan peribadi. Rata-rata rakyat Malaysia mengamalkan budaya timur yang penuh santun tetapi sikap ini berubah apabila mereka memandu kenderaan. Sikap buruk di jalan raya ini membahayakan dan menyumbang kepada kemalangan. Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sendiri mengakui sikap pengguna jalan raya yang tidak sabar dan tidak beretika menjadi punca kegagalan Ops Selamat 8 yang tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan.

1. Memotong Barisan

Fenomena ini sering terjadi di lampu isyarat, plaza tol dan ketika berlakunya kesesakan jalan raya. Lebih menjengkelkan, mereka tidak memberikan isyarat untuk memotong barisan dan adakalanya memotong dalam keadaaan melulu tanpa menghiraukan kenderaan lain yang sudah terlalu hampir atau penunggang motosikal. Pernahkah anda mendengar tentang blind spot? Adakah anda yakin tiada kenderaan di titik buta itu?

Gambar: kemalangandijalanraya.blogspot.com

2. Memotong Di Lorong Kecemasan

Keadaan ini sering terjadi ketika berlakunya kesesakan di lebuhraya. Sikap pentingkan diri ini sering dilakukan oleh kenderaan mewah. Mereka langsung tidak mempedulikan penunggang motosikal, malah akan berebut masuk ke laluan kiri jika ternampak kelibat polis di laluan berkenaan. Sikap inilah yang menyebabkan bantuan kecemasan seringkali lewat tiba di lokasi nahas.

Gambar: www.kedahnews.com

3. Memandu Perlahan Di Lorong Kanan

Sesetengah pemandu memandu pada kelajuan 80km sejam di laluan kanan sedangkan halaju yang dibenarkan ialah 110km sejam. Tambah menjengkelkan andai mereka melakukannya pada waktu puncak.

Gambar: ohpemandu.com

4. Terlupa Kewujudan Signal

Lampu tersebut digunakan untuk memaklumkan kepada kenderaan lain niat anda untuk membelok, memotong barisan atau menukar lorong. Kebanyakan pemandu Malaysia jarang menggunakan lampu ini. Adakah anda fikir pemandu lain dapat membaca fikiran anda?

Gambar: www.wikihow.com

5. Membuang Sampah Keluar Kenderaan

Kita merungut apabila melihat sampah dibuang merata-rata dan sering bertindak menyalahkan pihak berkuasa tempatan culas melakukan kerja pembersihan. Sedangkan pada skala individu, kitalah penyumbang kepada masalah sampah di jalan raya. Inikah sikap yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang? Jika sampah yang terlalu kecil seperti helaian benang boleh dimaafkan, bagaimana pula dengan sampah seperti botol mineral, tin minuman dan bekas makanan yang dibuang keluar tingkap? Bukankah membahayakan pemandu lain seandainya sampah yang dibuang menghalang pandangan?

Gambar: dailypost.com

6. Memandu Sambil Memegang Telefon

Anda tidak akan dipuji sebagai pemandu yang hebat jika mampu memandu sambil memegang telefon bimbit. Tindakan ini merbahayakan pemandu lain. Anda bukan sahaja gagal mengawal stereng, menekan brek tanpa sebab dan lebih merbahayakan apabila anda terpaksa menekan brek kecemasan akibat kenderaan di hadapan berhenti mengejut.

Gambar: www.dammahumnib.com

7. Tidak Menyalakan Lampu Ketika Hujan

Jarak penglihatan ketika hujan lebat adalah terhad. Bantu pemandu lain melihat anda dengan menyalakan lampu kenderaan, bukannya lampu kecemasan. Rakyat Malaysia lebih gemar menyalakan lampu kecemasan atas alasan lebih jelas untuk dilihat pemandu lain, hakikatnya lampu kecemasan yang dinyalakan pada waktu hujan hanya mengelirukan dan lebih membahayakan anda.

Gambar: www.flickr.com

8. Sikap Suka Ambil Tahu

Keadaan ini dapat dilihat setiap kali berlaku kemalangan. Pemandu lain akan memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan. Sesetengahnya sanggup memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk mengambil gambar bukannya untuk membantu. Sikap menjengkelkan ini menyumbang kepada kesesakan teruk di lokasi terlibat.

Gambar: blog.asiantown.net

9. Penunggang Motosikal

Selain membonceng anak kecil tanpa sebarang kelengkapan keselamatan seperti topi keledar, kebanyakan penunggang motosikal enggan memperlahankan atau memberhentikan kenderaan mereka walaupun telah nampak dengan jelas lampu signal daripada kenderaan di hadapan yang ingin menukar lorong.

Gambar: www.sinarharian.com.my

10. Kenderaan Diparkir Sesuka Hati

Sesetengahnya mengambil jalan mudah memarkir kenderaan di bahu jalan, sesetengah yang lain pula mementingkan diri dengan mengambil ruang parkir untuk kenderaan sebelah. Tidak kurang juga yang memarkir kenderaan dengan senget sehingga mengganggu kenderaan yang diletakkan di sebelah. Begitu juga dengan motosikal yang meletakkan kenderaan di parkir kereta dan kereta yang diparkir di ruangan khas buat Orang Kelainan Upaya.

Gambar: www.utusan.com.my