LIFESTYLE
Tujuh Sekawan Bergembira di Semporna Sabah Berdepan Risiko Penculikan
Semporna, Sabah sememangnya cukup terkenal dengan keindahan pulaunya yang begitu memukau. Namun baru-baru ini kita dikejutkan dengan beberapa kes penculikan rakyat Malaysia oleh lanun bersenjata di perairan Semporna. Walaupun berdepan dengan pelbagai isu keselamatan, itu tidak menghalang kaki melancong untuk menikmati jernihnya air laut dan ketenangan pulaunya yang terpelihara.

Bagi Airin Yusmira, 26, percutian dia bersama enam lagi sabahat baiknya ke Semporna, Sabah telah lama dinantikan. Menurut Airin, “Sebelum pergi kami terbaca ada kes penculikan daripada lanun bersenjata di Semporna. Kami telah membeli tiket tambang murah ini sejak September 2015 lagi dan ini sahaja masa kami dapat berkumpul bersama kerana masing-masing bekerja di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak. Walaupun pemergian kami ini menjadi persoalan kepada keluarga dan rakan-rakan, kami tetap nekad, banyak berdoa dan tawakal saja.”

15 April 2016, mereka tiba di Lapangan Terbang Tawau, perjalanan ke Semporna mengambil masa satu jam. Airin dan sahabatnya memilih untuk menginap di Wanderer Inn, Semporna kerana sudah hampir malam. Wanderer Inn adalah sebuah asrama dan mereka berkongsi bilik tidur, tandas, dan ruang tamu bersama tetamu lain. Mereka kemudiannya berjalan-jalan di sekitar pekan Semporna, membeli barangan keperluan untuk ke pulau dan menikmati makanan laut dan pisang cheese original Sabah untuk makan malam.

Hari kedua bermula, urusan mereka untuk masuk ke pulau-pulau di Semporna diuruskan oleh Encik Sam yang merupakan orang Sabah. Mereka menaiki bot laju untuk ke Chalet Lato-Lato, Pulau Bum Bum Semporna selama 30 minit. Chalet Lato-Lato mempunyai air laut yang jernih dan batu karang menjadi tumpuan spesies ikan marin kerana terdapat banyak plankton. Dasarnya yang tidak dalam, sesuai dengan kejadiannya sebagai pentas benua di Laut Sulawesi. Ketibaan mereka di chalet disambut mesra oleh Pemilik Chalet Lato-Lato dan terus terpukau dengan keindahan ciptaan Tuhan. Banyak melakukan aktiviti bebas, mereka menghabiskan masa dengan snorkeling, berenang di sekitar chalet, berbual, main gitar dan melihat matahari terbenam bersama-sama. Tengah hari di Lato-Lato mereka dihidangkan dengan ketam dan ikan segar masakan orang tempatan.


Menariknya lagi, “Ketika ke Chalet Lato-Lato, hanya kami bertujuh sahaja yang menginap disitu. Jadi ada pasukan polis marin dan komando yang menjaga kami di pulau itu. Mereka bertugas menjaga keselamatan kami daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku,” jelas Airin lagi. Apabila mereka di chalet, ada polis marin yang turut bermalam di chalet tersebut untuk menjaga mereka bila mereka menaiki bot untuk pusing-pusing pulau, mereka turut dieskot oleh polis marin. Airin dan sabahatnya turut diberitahu setiap hari ada sahaja kes penculikan oleh lanun-lanun yang mahukan wang di pulau sekitar Semporna dan sebab itulah semua pelancong Malaysia dijaga dengan agak ketat.
.jpg)
.jpg)
Hari ketiga, mereka berangkat ke tiga pulau Tun Sakaran Marine Park iaitu Bohey Dulang, Pulau Sibuan dan Pulau Matabuan. “Mendaki Bohey Dulang bukanlah mudah kerana ia setinggi 600 meter. Tapi bila sampai atas, kecantikannya tidak mampu diungkap dengan kata-kata kerana ia begitu menakjubkan. Kami duduk diatas menikmati keindahan pemandangan dan merupakan kumpulan terakhir yang turun dari situ”, cerita Airin lagi. Pulau ini juga turut dipanggil Pulau Bohaydulong atau Pulau Bohidulong. Pulau Bohey Dulang ialah satu daripada lapan pulau dalam Tun Sakaran Marine Park.




Hari keempat, hati agak berat untuk meninggalkan pulau itu namun terpaksa dilakukan jua. Mereka menaiki bot untuk pulang ke Jeti Semporna dan menghabiskan masa di membeli buah tangan di bandar Tawau sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Bagi Airin, ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Walaupun berhadapan dengan masalah telefon pintarnya termasuk dalam air laut dan salah seorang dari sahabatnya digigit oleh landak laut, mereka amat menghargai setiap detik bersama di Semporna Sabah.

Paling penting, mereka selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Pesanan Airin, “Pergilah ke pulau-pulau di Semporna kerana ia sangat cantik. Betapa indahnya ciptaan Tuhan untuk kita terokai. Jangan risau tentang aspek keselamatan ketika berada di sana kerana pihak polis marin sentiasa ada untuk menjaga keamanan dan sempadan Malaysia. Buat apa ke Mauritius kalau kita boleh ke pulau-pulau di Sabah dengan harga yang berpatutan?” Dan akhir kata, sehingga harini mereka masih belum move on lagi dengan kenangan ketika di Semporna, Sabah.


Must-Watch Video