NEWS
Cabut Gigi RM15, Cuci Gigi RM55 Di Klinik Kerajaan?
Kenaikan harga baru petrol sebanyak 20 sen manakala diesel, 10 sen berkuatkuasa 1 Februari semalam nyata mengundang pelbagai komen netizen di media sosial. Ada yang keliru mengenai berita kenaikan ini yang tidak dibuat secara rasmi oleh pihak berwajib.
Namun, semalam juga menjadi tular di media sosial apabila caj rawatan pergigian di klinik kerajaan juga dikatakan naik bermula tarikh sama. Caj terbaru itu membabitkan cabut gigi sebanyak RM15 berbanding caj asal, RM1; cuci gigi sebanyak RM55 (RM2 caj asal) manakala tampalan dikenakan RM25 (RM2 caj asal).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rakyat di negara ini akan terus menerima perkhidmatan kesihatan bersubsidi tinggi daripada kerajaan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk perkhidmatan bersubsidi tinggi kepada pesakit dalam Kelas 3.
"Kabinet telah memutuskan untuk mengemaskini kadar caj bagi pesakit warganegara di Kelas 1 dan 2 yang terkandung dalam Perintah Fi (Perubatan) 1982, seperti yang dimaklumkan dalam Kenyataan Akhbar KKM pada 14 November 2016. Adalah dimaklumkan bahawa caj ini telah sudah sekian lama tidak dikemaskini iaitu sejak ianya mula dikenalkan pada tahun 1982.
"Namun begitu, pesakit dalam bagi Kelas 3 akan terus menerima perkhidmatan kesihatan bersubsidi tinggi seperti sebelum ini. KKM ingin menjelaskan mengenai mesej tular berkaitan kenaikan caj pergigian yang telah tersebar di media sosial," katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook, Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam.
Tambahnya, kos rawatan baru tersebut sebenarnya menggambarkan kos asas semasa pada tahun 2017 bagi rawatan pergigian di Malaysia, iaitu sekiranya ianya diberikan tanpa subsidi kepada rakyat. Namun, kerajaan terus komited memberikan subsidi terutamanya bagi pesakit Kelas 3 (yang menerima 98 peratus subsidi bagi kos rawatan perubatan dan pergigian).
"KKM ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa kerajaan tidak akan melepaskan tanggungjawabnya kepada golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah. Mereka akan terus menerima tahap penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi pada kadar yang amat berpatutan seperti yang telah mereka terima sebelum ini," katanya.
Must-Watch Video