News

El Nino Bukan Sekadar Kepanasan Melampau

Nurul Izza
21/04/2016
10:54 MYT
Sponsor Banner
El Nino Bukan Sekadar Kepanasan Melampau
Malaysia sedang dilanda cuaca panas dan kering disebabkan fenomena El Nino yang diramal berlarutan sehingga Jun. Di tempat-tempat tertentu, fenomena ini mengakibatkan banjir teruk dan kemarau berpanjangan. El Nino bukan pertama kali berlaku tetapi fenomena tahun ini paling teruk yang pernah dicatatkan berbanding tahun 1983, 1987, 1991, 1993, 1997 dan 2009. Apakah kesan El Nino kepada kehidupan manusia?

Bil Elektrik Meningkat

Sejak kebelakangan ini ramai yang mengeluh dengan peningkatan mendadak tarif elektrik sehingga dua kali ganda sedangkan penggunaannya sama setiap bulan. Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula memaklumkan tiada sebarang kenaikan tarif elektrik sebaliknya kenaikan ini berpunca daripada fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas melampau. El Nino menyebabkan berlakunya peningkatan beban elektrik sebanyak 2% selain mengakibatkan penurunan paras air yang menjejaskan keupayaan maksima kuasa hidro elektrik.
Gambar: blog.aarp.org

Bil Air Meningkat

Kesan peningkatan bil air tidak terlalu jelas berbanding bil elektrik. Cuaca panas dan kurang hujan menyebabkan tumbuhan perlu disiram dengan lebih kerap. Kita juga mudah berpeluh dan akan bertindak untuk mandi dengan lebih kerap bagi mengurangkan kepanasan. Badan juga memerlukan air dengan lebih banyak untuk mengekalkan hidrasi. Ternakan seperti lembu juga memerlukan air yang banyak untuk membesar.
Gambar: campuranhumor.blogspot.com

Catuan Air

Musim panas dan kekurangan taburan hujan meninggalkan kesan sampingan. Paling ketara, paras air di empangan berkurangan dan pada tahap tertentu catuan air perlu dilakukan. Buktinya, catuan bekalan air telah bermula di kawasan utara Perlis dari Wang Kelian, Kaki Bukit, Titi Tinggi, Beseri dan Abi yang melibatkan 13,000 pengguna domestik pada 16 April lalui. Pengurangan paras air ini juga menyebabkan kandungan bahan-bahan terlarut seperti amonia di dalam air sungai meningkat sehingga memaksa loji-loji rawatan ditutup.
Gambar: fourwaysreview.co.za

Serangan Penyakit

Cuaca panas melampau yang melanda boleh menjejaskan kesihatan terutama golongan kanak-kanak dan warga emas. Penyakit seperti demam, sakit kepala, pitam, demam denggi, ekzema, ruam panas, sakit badan dan strok haba mudah menyerang. Kes wabak denggi turut meningkat. Dalam keadaan cuaca kering dan suhu tinggi, kitaran hidup nyamuk Aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa semakin singkat iaitu kurang dari tujuh hari dan menyebabkan populasi nyamuk meningkat. Suhu panas juga menyebabkan nyamuk lebih aktif dan frekuensi menggigit bertambah sekaligus meningkatkan penyebaran virus denggi.
Gambar: en.wikipedia.org

Hasil Pertanian, Perikanan & Penternakan Terjejas

Keadaan suhu yang tinggi ekoran fenomena El Nino yang melanda negara buat masa ini dijangka menjejas mutu beras yang dihasilkan dalam bentuk biji beras retak dan berkapur. Fenomena El-Nino juga menjejaskan pengeluaran mempelam harumanis. Tanda-tanda kemerosotan pengeluaran ikon Perlis itu sudah nampak berikutan banyak pokok tidak mengeluarkan bunga, sebaliknya hanya mengeluarkan pucuk baharu. Begitu juga dengan industri akuakultur kerana ikan sukar hidup dalam cuaca melampau yang tentunya menjejaskan industri sub-sektor perikanan negara. Fenomena panas ini juga menyebabkan pengusaha kolam ternakan mengalami kerugian besar kerana ikan yang diternak tidak dapat dijual. Musim panas turut memberi kesan ke atas penternak lembu dan kambing berikutan bekalan air sedia ada semakin berkurangan.
Gambar: berita.rtm.gov.my

Kebakaran Hutan

Sebanyak 60 kes kebakaran hutan dilaporkan berlaku di Hulu Perak sepanjang Mac lalu berikutan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino. Kebanyakan kebakaran dipercayai akibat sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang membuang puntung rokok selain melakukan pembakaran terbuka.
Gambar: www.nasa.gov

Sekolah Ditutup

Ekoran cuaca panas melampau, beberapa sekolah telah diarah tutup buat sementara waktu di kawasan Kedah, Perlis dan Pahang disebabkan kenaikan suhu melebihi 37 darjah Selsius lebih 72 jam akibat cuaca panas dan kering.
Gambar: en.wikipedia.org

Serangan Haiwan Berbisa

Minggu ini sahaja terdapat dua kes membabitkan pelajar sekolah dipatuk ular. Kejadian pertama berlaku di Kelantan mengakibatkan kematian pelajar tahun satu, Nuri Nadirah Ruslan. Nuri dipatuk ular di betis kiri ketika bermain di kawasan taman mini Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim 1. Kes kedua melibatkan murid tahun dua di SK Chembong yang dipatuk ular di bahagian bawah lutut kanan ketika sesi memanaskan badan semasa pembelajaran Pendidikan Jasmani di padang sekolah itu. Mangsa atau waris serangan binatang buas ini boleh memohon bantuan kewangan menerusi tabung khas yang dikenali sebagai Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas. Peruntukan ini diletakkan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Jabatan Perhilitan dalam menentukan klasifikasi binatang buas setelah pendapat pengesahan Pegawai Perubatan bagi menentukan kadar bantuan.
Gambar: www.sinarharian.com.my

Jerebu

Ramai yang tidak menyedari berlaku peningkatan indeks pencemaran udara (IPU) di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Nilai pada 20 April 2016. Jerebu ini berlaku disebabkan pencemaran asap kenderaan, pembakaran terbuka yang diburukkan dengan pengurangan kelembapan sehingga 60% akibat El Nino. Bacaan IPU di Shah Alam dan Banting adalah pada 151 dan 101 pada jam 3 petang sebelum kembali kepada paras normal sejam kemudian.
Gambar: www.themalaymailonline.com

Gangguan Paras Air Laut

Kesan El Nino tidak terhad kepada iklim dan atmosfera, sebaliknya turut memberi kesan kepada lautan. Pemanasan di permukaan lautan mengakibatkan pengurangan tiupan angin yang meningkatkan suhu permukaan laut, mengurangkan jumlah awan dan hujan. Jika keadaan ini berlarutan boleh memberi kesan kepada ekosistem lautan, menjejaskan jumlah terumbu karang dan pastinya mempengaruhi populasi ikan.
Gambar: wunderground.atavist.com
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024