Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tindakan licik sindiket panggilan palsu yang dikenal pasti memperdaya mangsa kononnya terbabit dalam kes kemalangan.

Selain melakukan penyamaran sebagai anggota polis trafik, sindiket ini memperdayakan orang awam supaya melakukan pemindahan wang kononnya bagi menyelesaikan kes kemalangan.

Sindiket ini dipercayai menggunakan nombor telefon 03-20719999 dan mereka dikesan menjalankan kegiatan dengan menghubungi mangsa secara rambang.

PENJELASAN POLIS

Ketua Jabatan Penguatkuasa Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau menelefon sebarang mangsa termasuk mengarah mereka datang ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

Beliau berkata, arahan itu hanya diberikan sekiranya terdapat aduan yang dibuat mana-mana pihak yang terbabit dalam kemalangan.

Tambahnya, sebarang siasatan akan dibuat pegawai penyiasat atau penolong pegawai penyiasat untuk memanggil mana-mana individu yang terbabit dalam kemalangan dalam tempoh 24 jam.

"Pihak polis juga tidak pernah meminta bayaran berkaitan kemalangan yang berlaku kecuali bayaran untuk salinan dokumen atas permohonan pengadu. Orang ramai menerima panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mengaku sebagai pegawai polis trafik perlu mendapatkan nama dan nombor anggota pada badan pegawai polis untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Sementara itu, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Aishah dari Pulau Pinang mendakwa ada menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali kononnya dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Sentul, Kuala Lumpur pada awal Jun lalu.

Dia yang terkejut pada mulanya enggan melayan panggilan berkenaan selepas memaklumkan tidak pernah pergi ke Kuala Lumpur kerana berada di Pulau Pinang sepanjang tempoh berkenaan.