Hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan sesi 2018 di Malaysia. Jika di Johor sesi persekolahan bermula lebih awal iaitu pada hari Isnin.

Individu yang paling sibuk semestinya ibu bapa. Mereka pastinya melakukan persiapan terbaik bagi menyediakan kelengkapan anak masing-masing.

Bagaimanapun, satu perkara yang paling dibimbangi pada hari pertama sekolah adalah keadaan emosi anak.

Bagi mereka yang sudah berada di darjah dua ke atas ia mungkin lebih mudah. Bagi yang baru memasuki alam persekolahan, ia agak mencabar.

TREND ADIWIRA MASIH KEKAL

Kehadiran Ultraman memeriahkan suasana hari pertama sekolah.
Sejak tahun lalu, kemunculan individu yang berpakaian lengkap seperti karakter adiwira mula digunakan bagi mengurangkan rasa gementar kanak-kanak ini.

Malah, tahun ini kebanyakan sekolah juga masih menggunakan 'DNA' yang sama untuk menceriakan suasana hari pertama sekolah.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu misalnya mengupah ‘Spiderman’ untuk menceriakan murid baru.

Tujuan utamanya pastilah untuk mengurangkan rasa tertekan dan takut dalam kalangan mereka.

Guru Besar SK Sultan Sulamain menerusi Harian Metro berkata, inisiatif itu diambil selepas mendapat terlalu ramai murid tahun satu menangis pada hari pertama.

Disebabkan masalah itu juga ibu bapa terpaksa menunggu di kelas bersama anak-anak mereka.

"Syukurlah kerana dengan kehadiran Spiderman didapati situasi seperti tahun lalu tidak berlaku,” katanya.

Selain di Terengganu, SK Bindu Batu Pahat Johor juga melakukan taktik yang sama iaitu dengan mengupah sekumpulan Ultraman pada hari pertama, kelmarin.

Tiga Ultraman lengkap dengan senjata pedang mereka hadir memeriahkan murid-murid ini. Ternyata keceriaan terserlah di wajah anak-anak ini.

AHLI SIHIR TURUT SERTA

Hogwarts? Tidak, hanya di Putrajaya.
Jika kebanyakan sekolah memilih adiwira sebagai subjek utama mereka, berlainan pula kisah SK Presint 11(2) Putrajaya ini apabila memakai kostum ahli sihir.

Menariknya, individu yang menyarung kostum ini adalah guru besarnya sendiri iaitu Nor Aizah Ismail. Difahamkan, beliau mengenakan pakaian yang diinspirasikan daripada watak filem Harry Potter.

Dengan berpakaian seperti ini, murid tidak akan rasa takut untuk ke sekolah sebaliknya lebih yakin dan gembira.

Biarpun pemakaiannya dikecam oleh sesetengah pihak tetapi niat guru ini hanyalah untuk mencetuskan rasa ceria dalam kalangan murid tahun satu.

Seorang guru bernama Mohd Fadli Salleh turut menyuarakan pandangannnya terhadap isu ini di Facebook. Menurutnya, guru sejati tidak akan pernah rasa malu walaupun berpakaian sedemikian, malah meninggikan lagi maruah dan rasa hormat.

"Seorang guru sanggup keluar duit poket untuk menggembirakan anak didik mereka," katanya.