Pelbagai kemudahan dan keistimewaan disediakan kerajaan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) dalam aspek bantuan kewangan, kemudahan pendaftaran, pemulihan, institusi penjagaan, pusat latihan, kaunseling, pelepasan cukai, pengangkutan, perkhidmatan kesihatan, perlindungan insurans dan sebagainya.

Begitu juga, banyak fasiliti awam mesra OKU turut diwujudkan seperti di tandas awam, lif, tempat meletak kenderaan, laluan kerusi roda dan banyak lagi. Malah, ada saluran berita di televisyen juga disediakan bahasa isyarat khusus untuk OKU yang mengalami masalah pendengaran.

Statistik OKU pada tahun 2015:

PERNAH DENGAR OKU KHUTBAH JUMAAT?

Ia mungkin kedengaran janggal apabila mengetahui OKU juga terbabit ketika khutbah Jumaat. Bagaimanapun, sehingga hari ini tidak banyak masjid di seluruh negara menyediakan jurubahasa isyarat khutbah Jumaat dalam memastikan golongan OKU tidak terpinggir daripada mengetahui khutbah yang disampaikan khatib.

Sebagai contoh, Masjid Tepian Putra di Kuantan, Pahang pernah mengambil inisiatif menyediakan khidmat jurubahasa isyarat bagi membolehkan golongan cacat pendengaran memahami teks khutbah yang disampaikan ketika solat Jumaat.

Inisiatif yang dilaporkan media beberapa tahun lalu itu difahamkan mendapat kerjasama daripada Persatuan Orang Pekak Pahang (PADA). Namun, masjid itu hanya sebilangan kecil daripada sebanyak 6,426 masjid yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Malaysia yang menyediakan jurubahasa isyarat.

Kekurangan itu selaras dengan desakan Pertubuhan Orang Cacat Malaysia sebelum ini supaya kemudahan akses yang disediakan kepada golongan OKU terus diperbaiki kerana ada sebahagian daripadanya perlu ditambah baik.

Kompleks Islam USIM membuka ruang pada golongan OKU untuk terbabit sama dalam aktviti khutbah Jumaat.

KEISTIMEWAAN KOMPLEKS ISLAM USIM

Menyedari dilema yang dihadapi golongan OKU ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menyediakan jurubahasa isyarat untuk khutbah Jumaat di Kompleks Islam dalam kampus itu yang baru beroperasi sejak 2 Jun lalu.

Pusat Islam USIM dengan kerjasama Yayasan Faqeh menyediakan seorang penterjemah bahasa isyarat dalam setiap khutbah Jumaat yang disampaikan pada setiap minggu. Sukarelawan Sahabat Faqeh di bawah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FOQS) USIM yang dianggotai pelajar USIM akan bergilir-gilir menjadi jurubahasa isyarat di situ.

Unit Multimedia dan Info Digital Pusat Komunikasi Strategik USIM membantu dalam aspek teknikal dan visual untuk ditayangkan secara langsung pada layar utama di dalam dewan solat untuk bahasa isyarat yang disampaikan.

Menurut USIM dalam satu kenyataan media baru-baru ini, tujuan utama khutbah Jumaat dalam bahasa isyarat itu adalah bagi meraikan OKU pendengaran agar intipati khutbah yang disampaikan khatib dapat difahami.

Terjemahan khutbah Jumaat bukan saja dalam bahasa Malaysia tetapi Arab dan Inggeris.

BANGGA SEBAGAI DAI PEKAK

Dipilih menjadi jurubahasa isyarat pertama yang bertugas dalam solat Jumaat, Muhammad Zaid Abdul Samat,23, menzahirkan rasa teruja bercampur rasa gementar menunaikan tanggungjawab itu.

"Alhamdulillah, saya dapat sampaikan terjemahan khutbah Jumaat tadi dengan sebaiknya hasil rujukan dan latihan awal untuk teks khutbah yang akan dibacakan. Saya dan rakan-rakan yang mengambil kursus Dakwah Tanpa Suara di FPQS merasakan peluang yang diberikan USIM dan Pusat Islam untuk kami tonjolkan kemahiran yang kami pelajari amat baik sekali.

"Terjemahan bahasa isyarat untuk khutbah Jumaat yang disampaikan bukan sahaja untuk teks dalam bahasa Melayu, malahan juga disampaikan dalam bahasa Arab dan Inggeris serta ayat-ayat al-Quran dan hadis," katanya.

Menurut USIM, pelajar yang mengambil kursus Dakwah Tanpa Suara yang ditawarkan di FPQS USIM gembira menggelarkan diri mereka sebagai Dai Pekak berbanding dikenali sebagai jurubahasa isyarat seperti kebiasaan.

Pensyarah kursus braile di FPQS USIM, Norakyairee Mohd. Raus pula berkata, bilangan masjid yang menyediakan khidmat jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat amat kecil.

"Langkah yang dibuat oleh pengurusan Kompleks Islam USIM ini wajar dipuji kerana ini adalah satu bentuk dakwah kepada golongan minoriti ini dan meraikan mereka," ujarnya.