Mereka yang pernah menyambut hari kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957 pastinya mempunyai lipatan sejarah yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila. Kesusahan yang melanda ketika negara dijajah kuasa besar seperti British dan Jepun membuktikan betapa susahnya pemimpin negara berusaha menuntut kemerdekaan seawal tahun 1947.

Pengalaman sama turut dikongsi tokoh negara, Tan Sri Mohd Yusof Latiff yang menceritakan pengalamannya sewaktu bersama-sama berjuang menuntut kemerdekaan bersama beberapa pemimpin negara yang lain.

Menurutnya, jika dulu usianya terlalu muda sekitar 17 tahun berbanding kini sudah berusia 87 tahun tetapi anak kelahiran Pulau Pinang yang dilahirkan pada 11 Ogos 1930 ini tetap dihormati generasi selepasnya..


HIDUP SEPERTI DALAM NERAKA

Mohd Yusof merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik ini mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chowrasta, Pulau Pinang sebelum berjinak-jinak dalam dunia politik ketika mula menyertai parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Perkembar) sebelum ia dikenali sebagai UMNO.

"Pada 21 Oktober 1947, saya menyertai UMNO dan menjadi ahli Pemuda UMNO Jalan Hatin dan menceritakan pengalaman hidup ketika zaman dijajah cukup perit untuk dikongsikan.

"Hidup kita seperti dalam neraka dengan susahnya lebih-lebih lagi tiga tahun hidup di bawah zaman dijajah tentera Jepun sebelum capai kemerdekaan dan semua tahu ketika itu amat susah sekali.

"Segala arahan perlu dipatuhi jika engkar kena tangkap dan dipukul dengan kejamnya tanpa rasa belas kasihan dan ketika itu kuasa mereka cukup kuat," katanya.


ERTI PERJUANGAN SEBENAR

Tambahnya, nasib masyarakat tempatan ketika itu terbela selepas tubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada Febuari 1948 dan ketika itu Malaya dipimpin mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang digelar Bapa Kemerdekaan negara.

"Tunku berusaha selama enam tahun untuk mencapai kemerdekaan dan pastinya tarikh keramat 31 Ogos 1957 yang diberikan kepada Malaysia untuk meraikan kemerdekaan adalah sesuatu yang amat dibanggakan.

"Perjuangan sebenar bukan kerana mengejar pangkat, duit ataupun kuasa semata-mata tetapi kerana negara yang tercinta dan disitu bermula semangat perpaduan pelbagai etnik kaum termasuk Melayu, Cina dan India mula bergabung.

"Tiada lagi jurang apabila semua bersatu dan hari demi hari negara terus maju dengan perubahan demi perubahan dilakukan untuk memajukan negara dibawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn, Tun Dr Mahathir Mohamed, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dengan pelbagai pembaruan dan kemajuan dilakukan," katanya.


MALAYSIA SELEPAS 60 TAHUN MERDEKA

Mohd Yusof berkata, generasi muda kini tidak mungkin dapat merasai kesusahan seperti dulu kerana segala kesenangan telahpun diberikan ketika ini sejak negara capai kemerdekaan yang kini sudah mencecah usia 60 tahun.

Beliau berkata, anak bangsa perlu mengenang betapa susahnya negara untuk capai kemerdekaan dulu dan inilah perjuangan yang sebenar dan ketokohan bekas pemimpin negara perlu dicontohi anak-anak muda sekarang dalam mencapai misi negara maju di era zaman teknologi dan serba moden ini.

"Apabila kami tiada nanti, mereka akan menjadi penganti dan menjadi pemimpin negara untuk meneruskan legasi negara maju dan sudah tiba masanya mereka terus berjuang untuk generasi akan datang.

"Anak muda perlu bangkit dan terus maju dihadapan dan menjadi anak Malaysia yang berjaya dalam mempertahankan kedaulatan, agama dan bangsa," katanya.

Selamat menyambut hari kemerdekaan Malaysia ke-60. Merdeka! Merdeka! Merdeka!