SKOP
Hospital Kerajaan Kehilangan Ramai Pakar Berpengalaman?
Sejak dulu lagi, hospital kerajaan menjadi antara keistimewaan paling berharga buat rakyat di negara ini.
Selain menawarkan harga bayaran perkhidmatan termurah serendah RM1 menerusi subsidi yang disalurkan kerajaan, kualiti doktornya juga tidak boleh disangkal kerana menggunakan ramai khidmat pakar.
Mungkin masih banyak kekurangan dari segi perkhidmatan tertentu tetapi keistimewaan ini antara yang dinikmati hingga hari ini.
KEHILANGAN TIGA PERATUS
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan kehilangan 987 doktor pakar pelbagai bidang.
Jumlah ini bersamaan tiga peratus doktor pakar atau purata 106 sehingga 170 orang setiap tahun antara tahun 2011 sehingga 2017.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, jumlah itu dilihat meningkat dari tahun ke tahun dengan majoriti yang meletakkan jawatan berada pada gred UD53 dan ke atas. Malah, pada tahun lalu saja seramai 170 doktor pakar kerajaan meletakkan jawatan.
Jadi apakah punca mereka ini meletakkan jawatan?
JURANG PERBEZAAN PENDAPATAN
Untuk makluman anda, kesemua doktor pakar daripada kerajaan ini sebenarnya berpindah ke pusat perubatan swasta. Punca berkenaan berkemungkinan disebabkan jurang perbezaan pendapatan antara sektor kerajaan dan juga swasta.
Menurut Subramaniam, biarpun pihaknya mengalami kesukaran mengimbangi pendapatan doktor yang berkhidmat di swasta dengan sektor awam, kerajaan sebaliknya masih cuba untuk mengecilkan jurang berkenaan.
Untuk makluman, menerusi Bajet 2018, setiap doktor pakar perubatan gred UD54 ke atas telah diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk menambah pendapatan masing-masing. Pelepasan ini tertakluk ketika tempoh waktu bekerja.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan platform untuk doktor pakar ini menjalankan penyelidikan perubatan yang ditaja oleh industri melalui Clinical Research Malaysia (CRM) atau menjadi tenaga pengajar untuk melatih pelajar universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
Perlaksanaan waktu kerja fleksibel itu diharap menggalakkan lebih ramai pakar perubatan untuk terus berkhidmat dengan kementerian.
Must-Watch Video