SKOP
Jika Anda Ada RM21,600 Nak Beli Kereta Ke Tudung?
Segelintir penduduk Malaysia sering merungut dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan ketika ini dan berang setiap kali harga barang meningkat terutama petrol.
Namun, ramai yang tidak sedar, peningkatan budaya terkini dalam berfesyen lebih menggerunkan berbanding kenaikan harga barang. Mana tidaknya, jika dahulu harga tudung hanya bernilai puluhan ringgit manakala jika ada yang paling mahal mencecah ratusan ringgit dipakai golongan berada.
Kini, harga ratusan itu adalah harga normal dalam kalangan wanita yang gemar berfesyen. Baru-baru ini, jenama tudung terkenal tanah air, Bawal Exclusive mendedahkan bahawa mereka pernah mendapat tempahan tudung bertatahkan batu kristal swarovski bernilai RM21,600 daripada seorang ahli peniagaan dari Kelantan.

Pengasas dan pemilik Bawal Exclusive Sdn Bhd, Halina Maysuri menyatakan dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkan tudung paling mahal itu.
"Golongan ternama dan ahli perniagaan tidak kisah berbelanja lebih asalkan mereka mendapat rekaan yang diingini," katanya.
Gila ke apa mahal macam harga kereta?
Difahamkan, setakat ini tudung bawal tersebut merupakan yang paling mahal pernah dihasilkan Bawal Exclusive dan juga menjadi tudung termahal di Malaysia. Pasti anda tertanya, mengapakah ia begitu mahal sehingga menyamai harga sebuah kereta.
Bawal Exclusive menggunakan kain Voile dari Jepun dan mengimport batu kristal Swarovski dari Austria. Sebelum ini, Bawal Exclusive pernah mencetuskan komen netizen apabila tudung berharga RM10,000 dijual pada seorang pelanggan menjadi viral.
Selain Bawal Exclusive, tudung jenama dUCk Scarf dimiliki Vivy Yusuf juga menjadi kegilaan netizen sehinggakan mereka sanggup beratur panjang sebelum butik tersebut dibuka semata-mata mahu mendapatkan tudung idaman. Harganya bermula dari RM130 sehingga RM800. Harga tersebut seolah sudah sebati dengan wanita Malaysia yang menjadi pelanggan tudung ini majotitinya golongan B40.

Kenapa harga minyak naik tapi harga tudung okey je?
Jika dilihat jualan tudung ketika ini diumpamakan bak cendawan tumbuh selepas hujan, adakah wajar netizen merungut kenaikan harga barangan sedangkan tudung yang di sarung di kepala bernilai ratusan ringgit?
Tinjauan Rojak Daily Skop! di butik dUCk Scarf di pusat membeli belah Pavilion baru-baru ini, mendapati ramai wanita mengambil peluang waktu rehat makan tengahari untuk beratur panjang semata-mata mahu mendapatkan koleksi terhad Aidilfitri keluaran jenama tersebut.
Bukan sahaja wanita dilihat berdiri menunggu giliran, terdapat juga beberapa lelaki turut sama dalam kegilaan tersebut atau mungkin lelaki itu tolong pegang beg tangan atau beg plastik tudung yang dibeli pasangannya sebagai tanda sayang!
Boleh disimpulkan di sini, netizen berjimat memasak juadah berbuka di rumah ekoran harga makanan di bazar Ramadan meningkat mendadak dan menggunakan wang tersebut untuk membeli tudung raya berharga ratusan ringgit.
Apa kata netizen?
Melihat di media sosial, Instagram Bawal Exclusive, rata-rata netizen ada yang memberi komen positif menyokong dan ada juga mengkritik.
akaunput3chan berkata: "patutlah menteri rakyat kita kata rakyat tak hidup susah.. sbb tu lah gst di perkenalkan."
Bagi azilahjer93_newk, "orang ramai tidak tidak perlu membazir membeli tudung mahal, sudah cukup dengan tudung berharga RM10 kerana mampu juga menutup aurat dan mencadangkan wang tersebut seharusnya didermakan."
nazihahabdrahim pula berkata: "Itu namanya ganjaran buat diri sendiri, ganjaran setelah penat lelah bekerja cari duit. Mereka beli guna duit sendiri. Kita tak tahu sama ada mereka bersedekah atau tidak, bersedekah tak perlu dicanang. Mungkin nilai mereka bersedekah lebih besar dari nilai tudung yang mereka beli. Kenapa perlu negatif kalau ada pilihan untuk jadi positif."
Must-Watch Video