Bagi mereka yang sudah bekeluarga pastinya mengimpikan rumah idaman. Paling penting, ia adalah hartanah sendiri yang boleh didiami atau mungkin dijadikan sumber pendapatan menerusi pelaburan hartanah yang dijana daripada duit sewa.

Namun, melihat situasi ketika ini ramai yang beranggapan peluang untuk membeli rumah sangat tipis dan berisiko atas pelbagai sebab antaranya jumlah pendapatan dan komitmen tinggi serta keadaan ekonomi negara yang menjurus pada perubahan harga hartanah yang menjadi semakin mahal.

Pada mereka yang belum mempunyai rumah sendiri, ini antara nilai rumah yang boleh dibeli mengikut gaji anda sepertimana dikongsi laman sesawang, Hartabumi.

1. Gaji - RM1,500
Nilai rumah - Sehingga RM76,000

2. Gaji - RM2,500
Nilai rumah - sehingga RM196,000

3. Gaji - RM4,000
Nilai rumah - sehingga RM376,000

4. Gaji - RM6,000
Nilai rumah - sehingga RM640,000

5. Gaji - RM10,000
Nilai rumah - sehingga RM1.09 juta

Jika dirujuk pada padanan gaji dengan nilai rumah tersebut, ini membayangkan individu yang meraih pendapatan sebanyak RM6,000 sebulan mampu membeli rumah berstatus kondominium.

Mereka yang bergaji RM4,000 pula boleh rumah status pangsapuri manakala tangga gaji RM2,500 ke bawah hanya layak memiliki rumah standard flat.

Bagaimanapun, individu yang bergaji tinggi atau rendah masih belum dianggap layak membeli nilai hartanah berkenaan jika mempunyai komitmen tinggi seperti bayaran ansuran kenderaan dan pinjaman peribadi di bank.


TAHUN 2018 LEBIH BAIK ATAU TIDAK?

Harga kediaman berdekatan kemudahan MRT juga meningkat disebabkan nilai hartanah di kawasan tersebut.

Ramai yang mempunyai azam membeli rumah pastinya melihat beberapa faktor sebelum membuat keputusan memohon pinjaman bank dan seterusnya sain perjanjian dengan pihak bank dan pemaju.

Namun, selain faktor kewangan individu itu sendiri apa yang turut membimbangkan bakal pembeli adalah situasi pasaran semasa yang mungkin memberi kesan pada harga rumah menjadi semakin mahal atau sebaliknya.

Pengasas FAR Capital Sdn Bhd yang juga pengarah portal Gilahartanah, Faizul Ridzuan berpandangan data sebelum ini menunjukkan orang ramai lazimnya akan membeli kediaman selepas pilihan raya kerana mereka mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Orang ramai mahu memastikan jika ada sebarang pertukaran kerajaan yang akan mengakibatkan perubahan pada polisi membabitkan hartanah.

Bagaimanapun, pemilikan rumah dijangka akan lebih rancak pada suku ketiga dan keempat pada tahun ini. Begitu juga, peratusan indeks harga rumah negara dijangka meningkat tetapi tidak melebihi tujuh peratus berbanding tahun lalu.

"Insentif perumahan dalam Bajet 2018 yang diumumkan baru-baru ini juga, menyumbang kepada kenaikan pemilikan rumah pada tahun ini.

"Antara insentif yang disediakan ialah peruntukan sebanyak RM2.2 bilion diberikan kepada hal-hal berkaitan perumahan dan kediaman. Kebanyakan pemaju juga mula membina kediaman di bawah harga RM500,000.

"Dalam tempoh 18 tahun akan datang, banyak kawasan perumahan mampu milik berharga antara RM250,000 hingga RM500,000 di kawasan Lembah Klang," katanya seperti dipetik daripada laman sesawang, Hartabumi.

Tambahnya, semua lokasi kediaman boleh dibeli tetapi perlu membeli dengan harga yang betul. Ujarnya, pemintaan meningkat terhadap pangsapuri berharga RM300,000 yang mempunyai tiga bilik selain kemudahan infrastruktur berdekatan.

"Kawasan yang akan mempunyai penambahan pembinaan kediaman adalah Lembah Klang kerana ia merupakan kawasan yang ada anjakan kemudahan infrastruktur seperti projek MRT yang memberikan impak yang positif kepada hartanah.

"Dengan adanya MRT ia akan memberikan pilihan kepada pembeli atau penyewa untuk menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja.

"Jika dilihat hartanah Johor Bharu pula mungkin bermasalah kerana pada 2012 pemaju membina kediaman berharga tinggi dan disasarkan kepada pembeli dari Singapura dan China. Penduduk tempatan memilih untuk membeli rumah yang dijual pada harga mampu milik dan bertanah.

"Di Pulau Pinang pula dijangka lebih baik kerana mempunyai pelaburan langsung asing (FDI) tinggi selepas tiga tahun kebelakangan ini," katanya.