Mengembara dan menjelajahi ke luar negara sememangnya sudah diketahui ramai mempunyai pelbagai kelebihan.

Selain menjadikan sesorang itu kaya dengan pengalaman, ia juga mampu meningkatkan kemahiran bersosial dan komunikasi, memperkuatkan kebolehan dalam menyesuaikan diri, memperbaiki keyakinan diri, tahap ketahanan dan kesabaran serta mematangkan fikiran selain mencapai keseronokkan dan menghilangkan tekanan.

Biarpun ada yang memilih untuk melakukan aktiviti ini secara bersendirian, pakar psikologi sebenarnya mengatakan bahawa percutian atau pengembaraan yang dilakukan bersama teman yang rapat akan memberikan kelebihan yang lebih besar.

Menurut kajian yang dilakukan oleh The Association For Psychological Science, sesuatu pengalaman yang dilalui oleh sesorang itu mampu menjadi lebih menyeronokkan apabila dilakukan bersama teman rapat atau pasangan hidup.

Malah, apa yang lebih penting hubungan di antara individu-individu berkaitan juga akan bertambah akrab. Malangnya kekangan kewangan seringkali menjadi penghalang bagi orang ramai untuk melawati negara luar.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya buat sepasang suami isteri yang bukan sahaja menemui jalan penyelesaian untuk percutian yang menjimatkan tetapi ia juga memberikan pengalaman yang cukup menyeronokkan.

Ikuti kisah mereka yang telah mengembara ke India selama 11 hari hanya menunggang motosikal!


PERANCANGAN TIGA BULAN

Permandangan bagaikan sebuah lukisan yang dapat dinikmati di depan mata.


Dalam tempoh perkahwinan mereka menjangkau lima tahun, banyak kisah menarik yang mampu diceritakan pasangan ini, Shafiq Akmal, seorang auditor IT berusia 31 tahun bersama isterinya, Siti Aishah, 33, yang berkhidmat sebagai eksekutif di sebuah bank.

“Selain daripada percutian biasa, kami pernah memandu merentasi kawasan barat Australia, memandu dari Meru, Klang sehingga ke Phuket, Thailand, pergi melakukan aktiviti ‘scuba diving’ di Bali, Indonesia, bawa keluarga bersiar-siar menggunakan penganguktan awam di Jepun dan melakukan aktiviti hiking di pelbagai kawasan bukit dan sungai sekitar Selangor,” kata Shafiq kepada Rojak Daily Skop!.

Pada September lalu, Shafiq dan Aishah memilih pengangkutan secara bermotosikal untuk menjelajahi India selama tempoh 11 hari dan 10 malam. Menariknya, kos keseluruhan yang dibelanjakan pasangan ini adalah kurang daripada RM4,600 untuk dua orang!

Kos tersebut merangkumi perbelanjaan tiket penerbangan, makan dan minum, pengangkutan, penginapan dan segala perbelanjaan lain.

Jelasnya, tempoh disana digunakan untuk melakukan aktiviti seperti menunggang motosikal merentasi laluan Khardung La Pass, menghayati kehijauan bumi Kashmir, menyelusuri hiruk piruk Delhi dan menyaksikan keagungan empayar Mughal di Agra.

“Kami membuat perancangan selama lebih kurang tiga bulan. Banyak maklumat yang kami perolehi daripada laman devilonwheels.com. Disebabkan kami juga sibuk dengan kerjaya, kami ambil perdekatan secara perlahan-lahan.

"Kami tengok apa yang terdapat di Internet, teliti 'posting' Facebook orang lain yang pernah melakukan perkara yang sama dan kemudian buat kajian kami sendiri,” ujar Shafiq lagi.


11 HARI PENUH BERMAKNA

Percutian pastinya lebih bermakna dan menyeronokkan bersama insan tersayang.


Pasangan ini mula menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi pada 10 September lalu. Setelah bermalam di sana, mereka kemudiannya menaiki penerbangan ke Srinagar di Kashmir pada pagi berikutnya.

Antara tempat menarik yang dilawat di sana adalah Mughal Garden of Kashmir, Nishat Garden, Shalima Garden, Chashme Shahi Garden dan Hazrarbal Shrine Mosque. Pada hari ketiga, mereka menuju ke bandar Kargil yang mengambil masa perjalanan selama lapan jam.

“Untuk sampai ke sana, kami perlu menempuh salah satu jalan yang paling merbahaya di dunia iaitu Zolija Pass. Ia adalah jalan di pergunungan yang penuh berliku,” kata Shafiq.

Pada hari keempat, mereka menuju ke bandar Leh. Perjalanan ini pula mengambil masa selama enam jam.

“Sampai di Leh, kami terus buat permit untuk ke Nubra Valley, Turtuk, Pangong Tso. Pelancong asing perlu buat permit ini melalui ejen dan tidak boleh berurusan terus dengan pejabat pelancongan. Kami perlu pastikan juga kami telah membuat salinan yang banyak kerana perlu daftar di ‘Army Post’,” tambahnya lagi.

Bagaikan tidak lengkap percutian tanpa bergambar di papan tanda kawasan yang dikunjungi.

Hari kelima, pasangan ini menjelajah kawasan Pangong Tso dan menyelusuri laluan bermotor yang kedua tertinggi di dunia iaitu Chang La Pass. Pada hari keenam mereka berehat dan bersiar-siar di sekeliling bandar Leh.

Pada hari ketujuh, mereka menyewa motosikal Royal Enfield Bullet 350cc dan menuju ke Turtuk. Perjalanan sejauh 205 kilometer ini merentasi laluan bermotor tertinggi di dunia iaitu Khardung La Pass.

“Kami banyak berhenti minum, makan dan bergambar tapi ambil gambarlah yang paling banyak,” ujarnya lagi sambil ketawa.

Menikmati keindahan kawasan Turtuk pada hari kelapan, mereka juga berpeluang menaiki unta Batrican dan menjelajahi kawasan Sand Dunes di Nubra Valley.

Pada hari kesembilan, mereka pulang semula ke bandar Leh melalui laluan Khardung La Pass sebelum keesokan harinya, mereka menaiki penerbangan ke Delhi dan kemudiannya menaiki keretapi ke Agra untuk bersiar-siar.

Sehingga pada hari terakhir mereka melawat Taj Mahal dan bersiar-siar di sekitar bandar Mughal sebelum pulang ke tanah air pada waktu malam.


INDIA YANG INDAH DAN UNIK

Mungkin ada yang beranggapan melancong dengan motosikal adalah kerja 'gila'.


Menurut Shafiq, jika dibandingkan dengan negara lain yang pernah dilawati, India menawarkan pemandangan yang lain daripada yang lain di samping keindahan tersendiri.

Warna gunung-ganang yang ada di sana memang sangat cantik bagaikan sebuah lukisan, sungai jernih menampakkan refleksi langit, semua ini ada keindahan tersendiri.

“Kalau kita ke sempadan India, Kashmir pada musim panas adalah sangat hijau manakala Ladakh pula sangat warna-warni. Bandar Agra pula sangat menakjubkan manakala Delhi pula teramat sibuk.

“Turtuk juga sangat menarik dan menawan manakala penduduk di Ladakh pula sangat ramah. Pengalaman mengenali dan merasai kehidupan masyarakat di Turtuk pula adalah sesuatu yang sukar dilupakan,” ujarnya lagi.

Mungkin ada yang tidak tahu unta juga terdapat di India.

Dari sudut masalah dan kesukaran yang dihadapi adalah ditipu oleh pengusaha teksi dan juga ketika Aishah terkena serangan Acute Mountain Sickness (AMS) semasa bermalam di Ladakh.

“Agak cemas juga ketika itu tetapi mujur kami dah bersedia dengan ubat untuk AMS. Mungkin juga ia disebabkan oleh kekurangan rehat," katanya.

Tambahnya, pengalaman di sana bukan sahaja membuka mata mereka terhadap keindahan alam tetapi berpeluang mengenali kehidupan masyarakat tempatan di sana dengan lebih dekat.

“Kami tinggal di kota masyarakat Syiah di Kargil, kaum Buddhist di Ladakh dan Muslim di Turtuk. Kita perlu belajar menghargai dan menghormati agama lain.

"Malah, sewaktu di sana kami turut menyaksikan satu rusuhan tercetus akibat perkahwinan antara seorang Buddha dan Muslim yang mendapat tentangan keluarga," katanya.

Mengenai destinasi lain yang ingin dikunjungi selepas ini, mereka berhasrat melancong ke Scandinavia tetapi apapun, ia bergantung pada bajet.

“Paling realistik adalah melawat Iran dan kemudian masuk ke negara Turki dan Balkan,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Bagi mereka yang ingin melihat itenari penuh dan perbelanjaan percutian pasangan ini lebih terperinci mengenai lawatan 11 hari di India tersebut, boleh layari sini.