Sebut saja laksa, pasti ramai sudah terliur selepas terbayang keenakan mee laksa yang dihidang bersama kuah rebusan ikan. Tambah menyelerakan apabila dihidang bersama pes udang yang pekat.

Antara laksa yang popular adalah di Ipoh, Pulau Pinang dan juga Kedah. Johor juga popular tetapi bahan digunakan tidak sama seperti di kawasan utara.

Namun, dikala kita menikmati juadah berkenaan, tahukah anda terdapat pihak tidak bertanggungjawab menghasilkan laksa daripada bahan pengawet tidak dibenarkan.

Lebih membimbangkan, bahan pengawet berkenaan memang diketahui antara bahan yang menyebabkan penyakit kanser.

SYARIKAT DIDENDA RM10,000

Hati-hati membeli mee laksa dan pastikan ia daripada jenama yang dipercayai.
Untuk makluman, hari ini sebuah syarikat pengilang makanan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menjual laksa mengandungi bahan pengawet tidak dibenarkan.

Menurut laporan Bernama, hukuman dijatuhkan apabila penyelia operasinya mengaku bersalah menjual tiga bungkus laksa berjenama Laksa Pendek yang mempunyai bahan terlarang.

Laksa berkenaan didapati mengandungi bahan pengawet asid benzoik yang tidak dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Laporan juruanalisis turut menunjukkan laksa itu mengandungi asid benzoik iaitu sejenis bahan pengawet yang tidak dibenarkan dalam makanan.

Pendedahan terhadap jualan laksa ini berjaya dibongkar seorang pegawai serbuan kesihatan telah pergi ke pasar raya di Jalan Metro Prima, Kepong Ogos tahun lalu.

PENYEBAB KANSER DAN ASMA

Pegawai berkenaan membeli tiga bungkus Laksa Pendek dengan bayaran sebanyak RM5.40 bertujuan untuk dianalisis.

Hasilnya laksa berkenaan terbukti mengandungi bahan pengawet terlarang.

Sehubungan itu mahkamah memerintahkan harta syarikat berkenaan membayar denda bernilai RM10,000.

Asid benzoik merupakan bahan pengawet yang tidak dibenarkan di dalam makanan.

Sekiranya dimakan, ia boleh menyebabkan kerengsaan, asma dan penyakit kanser terutamanya jika diambil dalam tempoh jangka masa panjang.