Skop
Terusan Wan Mat Saman Terima Pengiktirafan Antarabangsa
Terusan Wan Mat Saman yang menghubungkan Sungai Kedah di Alor Setar sehingga ke kaki Gunung Jerai di Gurun, selatan Kedah pernah menjadi terusan terpanjang di Malaysia mempunyai sejarah yang cukup unik.
Terusan itu mula dibina pada 13 Ogos 1885 dan siap sepenuhnya pada 1895 atas inisiatif Menteri Besar Kedah ketika itu, Allahyarham Datuk Wan Muhammad Saman Wan Ismail.
Tujuan Terusan Wan Mat Saman dibina bagi membantu pesawah di Kedah dalam aspek pengairan sawah padi untuk meningkatkan hasil pengeluaran. Pada ketika itu sawah antara industri terpenting di rantau ini.
Ia juga bertujuan mengatasi masalah kekurangan sumber air bagi aktiviti tanaman padi selain mengatasi masalah banjir dan berfungsi sebagai sebagai medium pengangkutan, pengairan dan saliran air di Kedah.
Ketika pembinannya, Terusan Wan Mat Saman sepanjang 36 Kilometer, selebar 7.5 meter dan sedalam lebih kurang 2 meter. Ramai pihak berpandangan pembinaan Terusan Wan Mat Saman merupakan suatu pencapaian yang mengagumkan memandangkan ia dibina hanya dengan peralatan tradisional seperti cam, cop dan parang.
TERUSAN WAN MAT SAMAN BERUSIA 132 TAHUN
Selepas lebih 132 tahun pembinaan Terusan Wan Mat Saman di Kedah, pihak berkuasa negara ini mengambil insiatif untuk terus mengekalkan fungsi dan sejarah warisannya yang unik.
Sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan dan pengindahan Terusan Wan Mat Saman termasuk memulihkan biodiversitinya bagi mewujudkan ekosistem seimbang di sepanjang terusan itu. Ia kini bukan sahaja berfungsi untuk membantu menjana ekonomi kepada penduduk setempat, malah mewujudkan satu produk pelancongan baharu bagi negeri Kedah.
Kerajaan juga dilaporkan sedang berusaha mempertingkat dan membaik pulih terusan supaya lebih mesra alam melalui Projek Memperdalam Terusan Wan Mat Saman, Projek Galeri Terusan Wan Mat Saman dan Projek Pembinaan Muzium dan Projek Landskap Terusan Wan Mat Saman.
TIGA PERINGKAT PEMBINAAN
Berdasarkan catatan sejarah, pembinaan terusan Wan Muhammad Saman dilakukakan dalam tiga peringkat seperti berikut:
- kerja menggali dimulakan dari hujung Sungai Pengkalan Kundur ke Kota Sarang Semut.
- pembinaan bermula dari Kota Sarang Semut hingga ke Kaki Gunung Jerai.
- menyambungkan terusan di Tandop dengan Sungai Kedah di Alor Setar.
PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA
Usaha kerajaan dalam memulihara kelestarian Terusan Wan Mat Saman mendapat pengiktirafan antarabangsa baru-baru ini.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang bertanggungjawab dalam mengelola terusan berkenaan menerima Anugerah Warisan sempena International Association For Hydro Environment Engineering And Research (IAHR) World Congress 2017 Ke-37 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Pengerusi MADA merangkap Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz menyatakan anugerah tersebut merupakan satu penghargaan yang amat bermakna bagi menghargai Terusan Wan Mat Saman yang berfungsi sebagai salah satu pengairan terpenting dalam aktiviti tanaman sawah padi satu ketika dahulu.
"MADA juga mengambil inisiatif mengadakan Program Lawatan dan Bengkel Terusan Wan Mat Saman di Melaka pada pertengahan tahun 2015 yang turut disertai oleh sepuluh agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Tekinal, agensi dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
"Objektif program tersebut diadakan adalah bagi membincangkan perancangan serta perlaksanaan projek ke arah mewartakan Terusan Wan Mat Saman sebagai warisan kebangsaan dan membincangkan bahan dan informasi berkaitan sejarah terusan tersebut bagi pengisian Muzium Wan Mat Saman," katanya dalam satu kenyataan.
Must-Watch Video