Sekilas
- Siri Klinik Netball Super League (NSL) 2026 melibatkan lebih 1,000 pelajar dan belia melalui lima siri klinik di sekolah dan institusi pengajian tinggi terpilih.
- Klinik NSL menjadi platform pembangunan akar umbi yang penting untuk membina keyakinan dan potensi generasi muda dalam sukan bola jaring wanita di Malaysia.
- Program ini mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Pengajian Tinggi serta diiktiraf sebagai aktiviti kokurikulum oleh KPM.
Siri Klinik Netball Super League (NSL) 2026 melabuhkan tirainya dengan sambutan memberangsangkan melibatkan lebih 1,000 pelajar dan belia menerusi lima siri klinik yang dianjurkan sepanjang musim ini di sekolah serta institusi pengajian tinggi terpilih.
Kini memasuki musim ketiga, Klinik NSL terus mendapat perhatian sebagai platform pembangunan akar umbi dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan institusi pendidikan yang melihat sukan sebagai medium membina keyakinan, disiplin dan potensi generasi muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, Klinik NSL mencerminkan komitmen Astro dalam memainkan peranan lebih besar daripada sekadar platform penyiaran dan kandungan sukan.
“Melalui Klinik NSL, kami komited untuk memanfaatkan platform dan capaian yang kami miliki bagi membantu membentuk laluan pembangunan bakat akar umbi yang lebih tersusun dan berterusan.
"Kami percaya pembangunan sukan perlu bermula dari peringkat akar umbi dengan akses, peluang dan pendedahan yang betul agar lebih ramai bakat muda dapat berkembang secara serius,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pembangunan bola jaring wanita perlu diperkukuh secara menyeluruh bagi membantu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pembangunan bola jaring wanita di rantau ini.
“Melihat penyertaan daripada pelajar sekolah dan mahasiswa dari pelbagai negeri memberi keyakinan bahawa potensi itu memang wujud.
Dengan pembangunan yang konsisten dan kerjasama pelbagai pihak, kami percaya lebih ramai bakat muda berpotensi untuk dibawa ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.
Siri penutup Klinik NSL musim ini berlangsung di SMK Seri Tasik, Cheras dengan kehadiran hampir 300 pelajar termasuk daripada beberapa sekolah berhampiran sekitar Kuala Lumpur. Selain empat siri klinik terbuka di universiti terpilih sekitar Lembah Klang, program ini turut diperluaskan ke Perak sebagai lokasi luar Lembah Klang bagi membuka lebih banyak peluang penyertaan kepada bakat muda bola jaring.
Walaupun majoriti lokasi klinik dianjurkan di sekitar Lembah Klang, program ini turut menerima penyertaan daripada pelajar luar yang sanggup hadir dari negeri seperti Kedah, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan demi merebut peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Daripada keseluruhan penyertaan, seramai 20 peserta terbaik terdiri daripada pelajar sekolah dan mahasiswa universiti telah dipilih untuk menyertai Klinik NSL Final Boot Camp 2026 yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Mei sempena NSL Regional Cup 2026. Boot Camp selama dua hari nanti bakal memberi pendedahan latihan intensif bersama jurulatih kebangsaan selain pengalaman berada dalam persekitaran bola jaring profesional.
Klinik NSL 2026 turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memperluaskan capaian program ke sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Selain itu, program ini juga telah mula mendapat pengiktirafan dalam aktiviti kokurikulum oleh KPM, sekali gus memperlihatkan potensinya sebagai platform pembangunan bakat yang semakin relevan dalam ekosistem sukan dan pendidikan negara.
Dengan sambutan yang terus berkembang setiap musim, Klinik NSL kini semakin memperlihatkan potensinya sebagai platform yang menghubungkan pembangunan akar umbi kepada aspirasi sukan yang lebih besar buat generasi muda wanita.