Pelakon yang juga ahli perniagaan Datuk Boy Iman, 40, tidak kisah tanggapan orang mengenai situasi yang sedang dilaluinya.

Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman berkata, dia percaya ada hikmah tersembunyi di sebalik semua ini.

“Biar orang anggap saya sedang lalui situasi buruk, tapi sebenarnya Allah sedang memberikan satu pengalaman yang mengandungi banyak hikmah,” katanya.

Dalam pada itu, Boy Iman mendakwa, dia tidak tahu menahu serta tidak dimaklumkan mengenai sebarang tindakan undang-undang yang bakal dikenakan ke atasnya sebelum ini.

Katanya lagi dia hanya mampu ‘tergelak’ selepas membaca laporan dirinya yang diisytihar muflis oleh mahkamah berkuat kuasa semalam.

“Saya pun baru tahu selepas membaca laporan disiarkan media sebentar tadi. Baru je baca, dan memang tak tahu apa-apa atau tak terima sebarang notis pun.

“Apabila saya merujuk kes ini pada peguam, dia juga memberi maklum balas yang sama. Apa boleh buat? Saya hanya mampu tergelak sajalah buat masa ni,” katanya.

Bagaimanapun, Boy Iman memaklumkan, dia sedang menunggu maklumat lanjut mengenai perkara tersebut daripada peguamnya.

[[BACA: Gagal Pulangkan Wang RM60,000, Boy Iman Diisytihar Muflis]]

Sebelum ini Harian Metro melaporkan Boy Iman diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan kegagalan melunaskan tuntutan lebih RM60,000 dibuat seorang individu pada pertengahan tahun lalu.

Terdahulu, Boy Iman melalui syarikatnya DBI Technology Sdn Bhd melancarkan program pembinaan rumah mampu milik dikenali DBI Homes sekitar 2017.

Rekaan bentuk rumah itu jika mengikut harga jualan semasa boleh mencecah RM200,000 tetapi dijual dengan harga kira-kira RM50,000.

Sumber: Malaysia Kini