Selepas konsert ‘The Percaya Tour’ berjaya menambat ribuan peminat, penyanyi meningkat naik Asad Motawh kini merancang untuk membuat jelajah kedua yang dijangka bermula tahun hadapan.

Bezanya dengan konsert sebelum ini, jelajah terbaru ini akan diperluaskan ke seluruh Malaysia membabitkan 14 negeri dan 24 lokasi.

Menurut Asad, ‘The Percaya Tour’ dianggap kenangan paling manis walaupun pada awalnya ramai memberi pandangan dan tanggapan sinis.

Berkat kesungguhan Asad, pasukan serta sokongan penaja, konsert itu berjaya menarik ribuan peminat.

"Pada awalnya, ketika saya umum nak mengadakan ‘The Percaya Tour’, ramai juga memberi pandangan sinis terutamanya apabila melibatkan penyanyi 'Budak Baru Nak Up' (BBNU).

"Ada kata tak lakulah dan beberapa lagi perkara lain. Namun, Alhamdulillah, saya tak sangka konsert 'The Percaya Tourm telah pun selesai dan beribu juga orang datang sokong saya.

"Sekarang saya dan team sedang merancang konsert yang lebih besar dan teratur menerusi 'album tour' sebaik saja album penuh saya dilancarkan dalam tempoh terdekat," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Warna, Jumaat ini.



Terdahulu, Asad sekali lagi dipilih menjadi duta bagi produk telefon pintar Honor menerusi model Honor 20 Lite.

Model itu telah dilancarkan secara rasmi hari ini dengan membawa keupayaan tiga kamera serta mod penstabilan kecerdasan buatan (AI). Ia akan dijual secara eksklusif melalui Shopee dan hihonor.com/my bermula 24 April 2019 ini dengan harga RM949.