Penulisan blog dan nasihat pelakon Redza Minhat menjadi azimat buat lulusan Ijazah Sarjana Penerbitan University of Sydney, Australia, Mohamad Fairuz Junaidi untuk fasih berbahasa Inggeris.

Kongsi Fairuz, kecenderungannya untuk belajar bahasa Inggeris menjadi lebih jelas apabila melihat portfolio cemerlang Rezda dalam karier seni dan perbankan dalam satu-satu masa.

"Saya pernah bekerja di lokasi sama tempat Redza Minhat bekerja dan selalu terserempak dengannya di kafe pejabat. Dari itu terdetik, dia pastinya seorang yang berilmu kalau dia boleh sukses dalam dunia lakonan dan kerjaya tetapnya itu.

"Daripada situ saya mengikutinya di Facebook dan sering membaca blog tulisannya. Sampai satu ketika saya berhubung dengannya dan mendapat banyak nasihat.

"Katanya kita tidak boleh membayangkan kita bercakap dengan bahasa Inggeris yang sudah sempurna seperti orang lain. Ia perlu berperingkat. Betulkan dahulu tatabahasa kemudian aspek lain akan menjadi lebih baik dengan sendirinya," ceritanya kepada Gempak.

Selain blog Redza, Fairuz sering belajar perbendaharaan kata baharu menerusi sitkom luar negara yang ditontonnya seperti Friends, Grey's Anatomy dan Modern Family.

"Betul kata Rezda, nak pandai bukan magis. Ia perlu usaha.

"Jadi, selain daripada membaca penulisan blog Redza di Internet, saya juga belajar perkataan baharu menerusi sitkom berbahasa Inggeris yang saya tonton setiap hari kerana ia merupakan bahasa perbualan harian.

"Setiap kali dengar perkataan baharu, saya akan mencatatkan di dalam buku nota dan cuba praktikkan kemudiannya," kata anak jati Pekan, Pahang itu lagi.

Tambahnya, selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Australia, dia bimbang ketidakfasihan bertutur dalam bahasa Inggeris akan menjadi penghalang untuk bergaul dengan pelajar lain di sana.

Menjejakkan kaki ke Australia pada 2014, Fairuz ada sedikit kerisauan memandangkan dia satu-satunya pelajar Malaysia dalam jurusan terbabit.

"Mula-mulanya susah sikit, ada rasa takut tetapi lama-kelamaan saya semakin selesa.

"Sepanjang di sana saya tak pernah digelakkan oleh pelajar lain tetapi setiap hari adalah proses untuk belajar hingga akhirnya berjaya juga bergelar graduan," ujarnya.

Pemilik syarikat pelancongan I Want 2 Go 2 Korea, Photo Trip Travel & Tours Sdn. Bhd. itu turut menjadikan personaliti televisyen, Azaria Tagaya sebagai penanda arasnya untuk bertutur lebih fasih dalam bahasa Inggeris.

"Saya akui, kita berdepan kekangan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris setiap hari walhal keluarga saya sendiri pun masing-masing handal dalam subjek terbabit.

"Semoga sedikit perkongsian tentang hidup saya ini mampu memberikan motivasi dan semangat untuk tidak berputus asa belajar bahasa Inggeris," kata Fairuz lagi.

Terdahulu, perkongsiannya mengenai tips belajar bahasa Inggeris dengan menjadikan Redza Minhat sebagai rujukan mendapat perhatian ramai di Twitter.