BERITA
Adegan Merokok Dalam Filem Hantu Kak Limah, Ini Penjelasan Mamat Khalid
Pengarah Mamat Khalid mengakui adegan merokok dalam filem Hantu Kak Limah (HKL) tidak akan memberi kesan negatif pada kanak-kanak.
Menurut Mamat, adegan merokok yang ditonjolkan dalam filem itu hanyalah sifat perwatakan untuk watak yang diberikan.
"Censorship yang terlalu ketat adakalanya bagus tetapi harus mengikut konteks juga.
"Adegan merokok tidak akan membuatkan seseorang khususnya kanak-kanak terikut-ikut untuk merokok, itu hanyalah sifat perwatakan yang bukan ditonjolkan sebagai watak utama yang patut dicontohi," katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kutipan sebanyak RM32.5 juta dalam 18 hari, Mamat berkata, dia sudah menjangkakan filem ini akan mendapat sambutan namun tidak menjangkakan filem ini mampu mengaut kutipan sehingga ke angka tersebut.
“Faktor penarik HKL adalah pelbagai golongan boleh terhibur menonton filem ini daripada orang dewasa, kanak-kanak hinggalah warga tua.
“Selain itu, faktor pemasaran filem ini juga wajar diberi pujian kerana berjaya mencipta hype sehingga ramai yang teruja untuk menonton HKL di pawagam.
“Filem kita sejak dahulu lagi sudah berjaya membuka mata peminat filem di peringkat antarabangsa.
“Dengan kejayaan box office HKL ini mungkin penonton tempatan yang akan lebih terdorong untuk menyokong filem Malaysia,” katanya.
Filem HKL merupakan judul keempat dalam siri Kampung Pisang bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
Naskhah berkenaan mengisahkan Kak Limah yang baru sahaja berumah tangga, telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di dalam kebun.
Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Datuk Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose dan Delimawati.
Filem arahan Mamat Khalid itu juga menampilkan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Vida serta artis popular, Erra Fazira sebagai bintang undangan khas dalam HKL.
Sumber: Sinar Harian
Foto: Google
Must-Watch Video