Sebelum ini pernah viral dengan lagu berjudul Swipe, penyanyi asal Singapura, Alyph kembali dengan buah tangan baharu berjudul Heat.

Masih kekal dalam acuan hip-hop, Alyph berkata lagu berkenaan merupakan sebuah kisah tentang pejuang-pejuang irama berkenaan yang telah mencapai kejayaan menakjubkan.

Ujar Alyph, walaupun judul single terbaharunya mungkin menggambarkan sesuatu yang panas, namun Heat diibaratkan seumpama kereta laju yang menelusuri persekitaran yang tidak dikenali.

“Heat ialah tentang mencari tenaga selepas berehat untuk seketika.

“Hal Ini merupakan perkara biasa. Setiap kali saya mahu pergi bekerja, atau melakukan sesuatu, saya perlu diberikan semangat, untuk bersiap sedia buat hari tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Alyph berkata, lagu ini bukanlah bertujuan untuk membuktikan dirinya kepada sesiapa.

“Lagu ini tentang tidak mahu menjadi selesa kerana sentiasa ada sesuatu yang lebih besar yang saya mahu capai untuk diri sendiri.

“Ada banyak lagi yang boleh saya sumbang kepada ruang dan industri ini, lebih banyak cerita yang boleh saya ceritakan dan lebih banyak orang yang boleh saya capai. Tiada ‘tujuan’ tertentu yang saya mahu kecapi. Saya hanya mahu menjadi lebih besar dan lebih baik," katanya lagi.

Heat telah dilancarkan di semua platform digital pada 15 September lalu. Manakala klip video muzik bagi lagu berkenaan akan ditayangkan di YouTube pada 22 September pukul 9 malam.

BACA: Sebelum Bergelar Penyanyi, Yonnyboii Pernah DM Alyph Tapi Tak Dilayan... Dah Kenapa?​