SUKAN
Arif Aiman Jadi Perhatian Bila Pulang Ke Kampung Beraya - “Duit Banyak, Gaji Mahal, Nama Besar & Tak Berlagak”
Duit banyak, gaji mahal, nama besar dan hidup tidak berlagak. Syabas anak muda.
Itulah luahan seorang pemilik akaun Facebook yang menilai kehidupan penuh cemerlang dan dedikasi bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, sewaktu pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya, baru-baru ini.
Tidak lupa kepada asal usul adalah punca utama kepada rezeki yang melimpah ruah selain menjaga hubungan persaudaraan merupakan ajaran mulia yang diturunkan kepada Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) musim lalu itu.
Perkara itu menjadi perhatian penyokong tempatan yang menganggap penyerang Harimau Malaya itu sebagai seorang yang merendah diri dan sentiasa disukai ramai.
Amalan menziarahi ahli keluarga dan menyantuni peminat ketika beraya di desa mendapat pujian Mohd Faisal yang menceritakan keperibadian pemain berusia 22 tahun itu yang tidak pernah terlepas peluang meraikan Aidilfitri bersama ibu bapa dan sanak saudara.
"Ketika saya berada di rumah saudara, ada beberapa anak muda sedang bercakap tentang pemain bola sepak tersohor JDT dan pemain kebangsaan, Arif Aiman, sedang berada di kampung itu, dan malam sebelumnya makan di sebuah kedai makan di sebuah kampung di Bachok, Kelantan.
"Untuk pengetahuan, ibu bapa Arif Aiman berasal dari Kelantan, manakala Aiman pula kelahiran Pahang.
"Bapanya dan keluarga sebelah bapanya adalah peniaga emas yang telah lama bertapak di Kelantan dan bapanya meluaskan perniagaan emas ke Pahang satu ketika dulu.
"Ibunya pula adalah anak kepada tokoh dikir barat negeri itu, Seman Mamat, atau dikenali sebagai 'Seman Wau Bulan' yang merupakan pencipta lagu Eh Wau Bulan.
"Saya mengenali ramai ahli keluarga sebelah bapanya kerana saya berkawan rapat dengan sepupu Aiman.
"Apabila mendengar anak-anak muda kampung berbual dengan bangganya tentang Aiman pulang ke kampung dan duduk makan di gerai kampung, terdetik di hati saya, bagus juga budak ni walaupun mempunyai nama besar tetapi tidak sombong," katanya.
Kecemerlangan Arif Aiman yang mencipta nama di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) turut mencerminkan keperibadian unggul apabila tidak putus melayani kunjungan peminat yang datang ke rumah untuk bergambar bersamanya.
Apa yang membanggakan penulis Facebook itu, akhlak dan tingkah laku Arif Aiman sewajarnya dicontohi semua pihak meskipun tidak memiliki banyak waktu terluang ekoran tugasan bersama kelab, dia tetap melaksanakan tanggungjawabnya.
"Dia akan ikut ayah, ibu dan adik beradiknya ziarah raya ke rumah saudara mara. Saya lihat situasi itu depan mata saya.
"Macam kanak-kanak ikut ibu bapa pergi beraya.
"Bagus Aiman macam ni….orang ada nama yang hebat, gaji mahal, budak muda, tetapi tidak berlagak.
"Jadi saya tak peliklah jika Arif Aiman mempunyai kehebatan yang luar biasa dan rezekinya melimpah ruah.
"Kerana beliau dilahirkan dari keluarga yang ada kualiti adab dan budaya. Kemudianya beliau bekerja dan dilatih pula oleh majikan yang hebat," tambahnya.
Sumber: Stadium Astro
Must-Watch Video