Banyak perkara dan cerita yang menarik boleh kita dapatkan daripada media sosial, tidak kiralah di Instagram, Twitter, Facebook dan lain-lain. Perkongsian pendapat, ilmu, dan berdebatan yang merangsang minda jika kita pandai mengasingkan antara yang baik dan buruk.

Satu perkongsian yang menarik perhatian di Twitter adalah gambar artis dan karya mereka (artwork). 'The artist and The Artwork' rancak dikongsi membuktikan bahawa kita mempunyai artis-artis yang berwibawa di Malaysia.

Gempak menghubungi beberapa orang artis dan empat daripada mereka sudi berkongsi sedikit cerita tentang diri dan karya yang mereka hasilkan.

Abdul Jalil Toha @ Tohara


Berusia 45 tahun, Abdul Jalil atau lebih mesra dengan panggilan Aleng tidak belajar secara formal untuk menghasilkan lukisan-lukisan abstrak yang sungguh menarik

"Saya seorang guru dan sekarang sedang mengikuti Master's Degree dalam bidang Information Management.

"Saya menghasilkan lukisan bermula sebagai hobi dan kemudiannya menarik minat pelanggan untuk membeli lukisan-lukisan saya," kata Aleng.

Menurut Aleng, dia sangat berminat dengan bidang senilukis, bermula sejak tahun 2001, namun menghasilkan satu lukisan yang lengkap pada tahun 2003.



"Saya banyak belajar daripada YouTube dan kadangkala mengikuti kelas persendirian selama beberapa jam untuk mengetahui teknik yang betul.

"Sekarang ini lukisan saya dijual secara persendirian dan ada juga yang menempahnya (commision art) dari Singapura, Langkawi dan beberap lagi," tambahnya lagi.

Menurut Aleng lagi, dia menggunakan teknik tapak tangan, jari dan kuku untuk menghasilkan lukisan abstrak.

Anda boleh mengikuti Aleng di Instagram @alengtohara

Noorfuji Anggara Masyudi


Artis yang baharu sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang Fine Art ini menggunakan inspirasi ayahnya dalam kebanyakan karya yang dihasilkan.

Menurut Fuji, 24 tahun, dia mengadaptasikan kehidupan ayah dan direfleksikan ke dalam dirinya sebagai sumber kekuatan diri.

"Ayah saya datang ke Malaysia daripada Indonesia 30 tahun dulu dan kini menjadi penduduk tetap di Malaysia.

"Kehidupannya bukan mudah. Dia menjadi nelayan, tukang kebun, buruh kasar dan pelbagai pekerjaan lain untuk memberikan kami hidup yang lebih baik," kata Fuji.

Menurut Fuji, kegigihan ayahnya itu ditafsirkan sebagai kekuatan diri dan menjadi identiti untuk dirinya membentuk keluarga yang lebih baik.

"Saya visualkan kepada penceritaan tersendiri dengan mesej tentang perjalanan hidup. Sama ada lukisan atau mural, pasti ada mesej yang mahu disampaikan.



"Seperti lukisan 'pink ubi'. Ketika itu ayah diberhentikan kerja dan selama sebulan kami sekeluarga makan ubi. Saya gelarkan lukisan tersebut sebagai 'the great dinner' sebagai penghargaan kepada ubi itu yang mempunyai kekuatannya tersendiri," terang Fuji.

Tambah Fuji lagi, dia menggunakan warna-warna gelap dan terang untuk menggambarkan emosi dalam setiap karyanya. Ketika ini Fuji menjadi artis sepenuh masa.

Anda boleh melihat banyak karya fuji di instagram miliknya @fujianggara

Suraina Isahak


Wanita berusia 26 tahun ini mempunyai ijazah dalam bidang seni dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan banyak bermain dengan tanah untuk menghasilkan seramik.

"Buat masa sekarang, ianya menjadi hobi kerana saya sudah mempunyai pekerjaan yang tetap. Namun pekerjaan saya juga masih lagi berkaitan kerana saya menghasilkan modeling menggunakan tanah.

"Buat masa sekarang, saya ingin mencari pengalaman sebanyak mungkin sebelum mengejar cita-cita saya yang sebenar," kata Suraina.

Menurut Suraina, kebanyakan pengkarya di Malaysia masih belum mendapat tempat di mata rakyat Malaysia sendiri kerana ramai yang lebih suka membeli barangan yang yang dikeluarkan oleh kilang secara pukal.

Suraina juga ingin memberikan sedikit komen tentang keracunan yang berlaku dalam pinggan-pinggan seramik yang menjadi viral baru-baru ini.



"Sebenarnya tidak ada masalah untuk menggunakan pinggan seramik. Hanya kerana beberapa kilang yang cuba menjual barangan pada harga murah dengan menggunakan pewarna yang mengandungi plumbum, habis semuanya terbabit.

"Jadi kalau anda tidak pandai untuk mengetahui jenis warna yang digunakan, lebih baik gunakan barangan seramik untuk pasu dan perhiasan, dan bukan untuk pinggan makan," kata Suraina.

Suraina juga bercita-cita untuk membuka studionya sendiri pada suatu hari nanti untuk mempamerkan karya-karya yang dihasilkannya.

Anda boleh ikuti Suraina di Instagram miliknya @surainaisahak

Mohd Shahzihan Shahidan


Baru berusia 18 tahun, karya artis muda ini cukup mengagumkan. Menurut Shahzihan atau lebih mesra dengan panggilan Shah, dia sudah mula berminat dengan seni sejak berusia 12 tahun lagi.

"Saya beruntung kerana mendapat sokongan daripada ibu yang membeli barangan yang diperlukan untuk saya.

"Bermula dengan melakar lukisan pada kertas A4 dengan menggunakan pensel warna, saya belajar sendiri kerana minat yang sangat mendalam," kata Shah.

Menurut Shah, dia turut mendapat teman-teman yang mempunyai pengalaman untuk mengajar teknik-teknik tertentu dalam menghasilkan karya.



"Saya sekarang menggabungkan teknik pensel warna dan pensel grafik dalam menghasilkan karya. Sebelum ini saya buat potret untuk dijual tetapi tidak menguntungkan kerana modalnya mahal.

"Kini saya gabungkan medium pensel warna dan pensel grafik untuk mendapat hasil yang lebih baik dan mempunyai gaya saya yang tersendiri," kata Shah lagi.

Shah bercita-cita untuk menjadi artis profesional dan mempunyai galerinya tersendiri. Ketika ini dia sedang menunggu untuk menyambung pelajarannya dalam bidang Graphic Design.

Anda boleh melihat karya-karya anak muda ini di Instagramnya @shahzhn.art

Malaysia sebenarnya mempunyai ramai artis-artis berbakat dalam bidang masing-masing. Mungkin jika lebih banyak platform yang dapat disediakan untuk mereka mempamerkan karya mereka, kita akan lebih menghargai ciptaan anak tempatan.