Penyanyi vokalis Kumpulan Scan Azan akui berkecil hati dengan sesetengah penganjur yang menawarkan bayaran rendah dan tidak setimpal dengan pengalamannya.
Pemilik nama sebenar Noorhazan Rashid juga berkata, luahan itu bukan mahu menunjukkan dia seorang yang 'demand' sebaliknya penganjur seharusnya lebih sensitif soal bayaran membabitkan artis lama.
"Nak cakap terasa memang adakala saya terasa. Kita tahu kita ini bukan popular mana. Tetapi biarlah bayaran itu setimpal dengan apa yang kita bawakan.
"Bayangkan ada yang sanggup bayar bawah RM2,000. Nak makan apa kalau berkumpulan?" ujarnya kepada Gempak.
Katanya, disebabkan itu juga, Azan terpaksa menolak banyak tawaran menyanyi kerana bayaran yang tidak setimpal dengan pengalamannya lebih 30 tahun dalam industri hiburan tanah air.
"Golongan artis senior ini semuanya bersandarkan bakat dan nak masuk dalam bidang seni dulu pun susah bukannya seperti sekarang.
"Saya memang tolak kalau bayaran bawah RM2,000. Bukan berlagak. Tetapi macam saya kata janganlah pandang kami ini seperti tiada nilai sangat," tambahnya.
Kata Azan juga, tidak melampau jika dia menganggap industri nyanyian penuh dengan diskriminasi terhadap golongan artis senior dan veteran terutama dalam soal bayaran.
"Saya tahu ada bayaran dibayar tak setimpal dengan pengalaman mereka. Ada artis baharu dibayar tinggi. Saya tahu.
"Saya tak marah artis baharu tapi bagi saya, artis senior lebih berpengalaman sepatutnya bayar mahal… kenapa nak bayar murah?," jelasnya.
Bekas peserta Gegar Vaganza (GV) musim ke-8 ini juga bagaimanapun tetap bersyukur kerana sehingga hari ini masih menerima tawaran.
"Syukur sejak selesai GV ramai juga yang panggil saya nyanyi. Dalam masa sama saya juga uruskan pernigaan saya," ringkas Azan.