Ratu Rock, Ella Aminuddin mendedahkan menerima tawaran untuk membuat konsert dalam talian memandangkan pandemik Covid-19 belum berakhir.

Walaubagaimanapun, Ella, 54, belum bersedia kerana tidak berpuas hati dari segi kualiti bunyi.

"Memang ada yang melamar buat konsert dalam talian, tetapi saya perlu mengkaji dahulu memandangkan tak puas hati dari segi kualiti sistem bunyi.

"Jadi, mungkin saya akan kaji lagi bagaimana cara untuk mengatasi masalah tersebut.

"Saya juga harus memikirkan kepuasan penonton yang membeli tiket," katanya kepada Gempak.

Sementara itu, pelantun lagu Rama-Rama ini mengakui memerlukan satu tempoh yang lama untuk mengadakan konsert sendiri.

Jelasnya, dia seorang yang akan melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh, bukan hanya sekadar perlu disiapkan.

"Kalau nak buat sendiri boleh, tetapi ia perlukan masa memandangkan terlalu banyak benda yang perlu diberikan fokus.

"Bimbang nanti saya tak boleh nak beri komitmen untuk aspek lain yang menuntut perhatian lebih.

"Konsep saya, kalau nak buat sesuatu, buatlah yang terbaik, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ella juga merupakan salah seorang juri di program terbaharu Astro Warna, The Masked Singer Malaysia.

Ella bersama Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Nabila Huda, Zizan Razak, Remy Ishak, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak diberi penghormatan untuk duduk di kerusi juri tetap.

Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.