Penyanyi Khai Bahar mengakui dirinya teruja apabila pertama kali mendapat tawaran daripada Inteam untuk menyanyikan semula lagu Setanggi Syurga.

Kini muncul dalam versi baru, Setanggi Syurga 2020, Khai mendedahkan dia menerima pelawaan itu tanpa berfikir panjang .

“Pihak Inteam ‘approach’ saya dan sangat teruja. Tanpa fikir panjang saya terus terima. Kebetulan saya memang nak berkolaborasi dengan kumpulan nasyid antaranya Inteam. Terima kasih pada Inteam kerana beri saya peluang dan kepercayaan untuk bekerjasama.

“Sebelum ini, kami belum pernah bekerjasama. Kiranya, lagu ini adalah kerjasama pertama kami. Memang sangat teruja dan harap semua dapat terima dengan baik,” katanya.

Mengenai lagu itu, Khai mengakui Setanggi Syurga ada lagu kegemarannya.

“Ramai sudah tahu lagu ini. Ia sedap didengar dan antara lagu kegemaran peminat lagu nasyid dari dahulu sampai sekarang.

“Malah, ia juga lagu kegemaran saya. Jadi, bagi saya kenapa tidak untuk rakamkan lagu ini tapi dengan versi yang lebih segar,” katanya.


Menyentuh soal perbandingan yang bakal timbul membabitkan kolaborasi dirinya bersama Inteam dengan Raihan dan Alif Satar, Khai berkata perkara itu tidak seharusnya timbul.

“Saya sudah bersedia dengan apa juga maklum balas. Cuma bagi saya, tidak perlu dibandingkan.

“Sebab, untuk lagu sedia ada, yang sedap dan pernah dengar, jika diberi nafas baru ia akan menjadi satu kelainan. Jadi bagi saya, tak rasa akan ada isu perbandingan ini,” katanya.

Muzik video lagu Setanggi Syurga 2020 sudah dilancarkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music bermula 21 April dan kini meraih lebih 245,000 tontonan.