Kehidupan dan dunia hiburan jarang sepi dari sensasi. Biar tak ada sesiapa yang meminta, namun ia tetap bergulir menghampiri.

Meski dalam banyaknya cemuhan yang diterima, mungkin kita terlupa sesuatu; Untuk berhenti menilai di luar hal yang kita barangkali tidak pernah tahu, atau berada dalam sesebuah situasi itu.

Gempak saja mengimbas beberapa isu sensasi yang sebenarnta jika kita bertenang, ada juga hikmah dan positiviti yang boleh dikutip dari setiap kejadian yang berlaku.

“Saya Tak Bakar Tudung…Saya Tak Buat IG Live Bercakap Fasal Tu!, Jangan Fitnah!” – Sarah Hidelbrand

Nama pelakon Sarah Hidelbrand hangat menjadi perbualan selepas mempamerkan imejnya yang kembali tidak berhijab.

Selain dikritik kerana kembali membuka aurat, isu paling parah yang dilontarkan kepada Sarah adalah dia dikatakan telah membakar tudung keluaran Neelofa iaitu Nealofar sewaktu masih berhijab kerana berang dengan tindakan pengusaha itu melancarkan produk di dalam kelab malam tidak lama dulu.

Banyak pro dan kontra. Yang salah tetap salah, namun membuat fitnah seperti kata Sarah yang menafikan dirinya melakukan perbuatan itu adalah juga sebuah perbuatan tidak baik.

“Kami Menangkap Wanita Ini Dengan Kekasihnya”- Humban 2 Anak Dari Jambatan, Ini Cerita Sebenar

Pada 22 Oktober 2020, bukan sahaja Gempak, tetapi dunia dikejutkan dengan berita seorang ibu yang membuang dua anaknya dari jambatan.

Okay, ini adalah sebuah perlakuan yang tak boleh diakui baik, apa lagi untuk kita memberi sokongan. Namun walau apapun keadaan, tidak adil untuk kita melihat dari kasat mata sahaja.

Memang kejam, tidak berperikemanusiaan, tetapi kekerasan yang dibalas kekerasan tidak akan pernah membawa sebuah kebaikan.

“Tak Suka Filem Aku Tak Apa Tapi Yang Kau Nak Menggelabah Apahal” – Syamsul Yusof Bidas Pengkritik Filem Over

Ada pepatah mengatakan seni adalah universal dan subjektif. Jadi untuk membenamkan sebuah seni atau karya yang diciptakan seseorang hanya kerana tidak menepati selera kita bukanlah satu tindakan bijak.

Mungkin pada pendapat kita, karya karya yang dihasilkan Syamsul Yusof atau pengkarya lainnya seperti 'sampah'. Namun pada segelintir lainnya yang mencari hiburan adalah untuk sebuah escapism kehidupan yang lelah, ia akan memberi sudut pandang yang berbeza.

Melahirkan pandangan dan kritikan, jika dilakukan dengan cara yang berhemah, ia akan lebih manis dan boleh menumbuhkan hormat terhadap kita.

Sekali lagi, Gempak tidak menyebelahi Syamsul atau netizen, tetapi kami hanya mengajak semua memahami 'demokrasi seni' dan tidak terlalu kritis terhadap hasil seni yang pada akhirnya hiburan adalah sebuah hiburan.

Isu Darurat Trending: Netizen Panik! Apa Impak Terhadap Mereka & Negara?

Jumaat, 23 Oktober 2020, rakyat menjadi panik dan mula ambil tahu apakah itu Darurat. Negara dikatakan akan mengalami 'Darurat'. Tapi darurat apa? Politik, Ekonomi atau keselamatan? Tidak banyak yang mempunyai pengetahuan sebenar.

Oleh yang demikian, di sinilah semua warga Malaysia dan seluruh ahli jabatan netizen memainkan peranan cukup besar, sama seperti frontliner memerangi Covid 19.

Berhenti menyebarkan berita tak sahih. Berhenti menimbulkan kegelisahan orang lain. Berhenti membuat spekulasi. Berhenti berdebat tentang hal yang tak pasti.

Dengan adanya kawalan kendiri pada minda dan jari, Malaysia tidak akan darurat berita palsu disebabkan oleh rakyat sendiri.

Scha Al-Yahya ‘Deactivate’ Instagram Selepas Muatnaik Posting ‘I’ve Had Enough’, Warganet Mula Risau!

Ini satu lagi berita sensasi buat peminat Scha Al Yahya. Pada lewat malam 21 Oktober 2020, akaun Instagram beliau yang memiliki lebih lima juta pengikut terlihat telah dinyah aktif.

Punyalah banyak teka teki dibuat, dari Scha mungkin tidak lagi ingin menjadi salah satu pengguna sampailah beliau mungkin alahan melihat segala informasi dalam IG.

Tak tunggu lama, Scha kemudian tampil menjernihkan situasi.

"Saya terdelete IG sewaktu ingin membuat link di Facebook dan sedang berusaha mendapatkannya kembali," begitu Scha memberi klarifikasi.

Nah, bukankah mendapatkan kesahihan dari tuan punya badan untuk sebuah hal yang kita tak pasti boleh meleraikan segala spekulasi.

“Saya Sudah Beri Keterangan Kepada IPD Gombak" - Bella Dally Mohon Maaf Cetus Kekeliruan

Kisah pelakon Bella Dally melakukan aktiviti berbasikal dan kemudian telah merentasi sempadan antara dua negeri (Selangor dan Pahang) juga tak kurang hangat diperkatakan.

Sebelum Bella tampil memberi kenyataan, pelakon itu didakwa telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Hal itu tercetus hanya berdasarkan sekeping gambar dengan kapsyen yang dimuat naik di akaun Instagramnya: "Woohoo Genting Sempah with..."

Ironi, Bella tidak pun melakukan kesalahan tersebut dan selesai memberi keterangan kepada polis mengenai kesalahfahaman yang terjadi.

Moralnya di sini, jangan cepat terpedaya dengan sekeping foto yang dilihat di media sosial.

Instagram: @belladaly, @sarahhidelbrand