Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, begitu jugalah yang terjadi kepada seorang individu apabila permintaannya untuk menemani isteri ketika bersalin ditunaikan.

Menerusi satu ciapan di Twitter, individu berkenaan pada awalnya menyuarakan pandangan supaya mana-mana suami yang lengkap vaksin dibenarkan memasuki bilik bersalin.

“YB tolong pertimbangkan untuk benarkan suami yang lengkap vaksin teman wife mereka. Kemukakan screening test untuk pastikan bebas Covid-19. Terima kasih,” katanya.

Ciapan tersebut kemudian terus mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy atau lebih mesra disapa KJ, beliau sudah memberitahu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengeluarkan kebenaran itu di semua hospital kerajaan.

“Saya telah minta DG Hisham untuk membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi & menjalankan ujian COVID dan negatif untuk menemani isteri mereka dalam bilik bersalin,” katanya.

Menjawab permintaan sama, Dr Noor Hisham juga turut memaklumkan akan mengeluarkan arahan untuk membenarkan suami yang lengkap divaksin dan bebas COVID-19 menemani isteri dalam wad bersalin.

"Ya, saya akan laksanakan apa yang diperlukan," katanya.

Susulan daripada kenyataan itu, posting berkenaan terus ‘dibanjiri’ komen netizen yang gembira dengan pengumuman tersebut.

“Alhamdulillah syukur kalau betul. Saya bakal bersalin pada awal bulan 10, harap cepat buat”.

“Betul ke ni, syukur ya Allah, dapatlah teman wife bersalin”.

“Terima kasih menteri kami! Terima kasih DG kami! Walaupun kami jururawat, tapi bila bersalin mesti memerlukan suami dekat sebelah. Sebab kita tahu macam mane keperluan seorang suami sebagai peneman dikala sakit tu,” tulis beberapa individu.

Sekadar info, hospital kerajaan sebelum ini tidak membenarkan suami untuk menemani isteri di dalam dewan bersalin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu akibat penularan COVID-19.