Laman Utama

Bila Legend Kembali, Siso Kopratasa Lontarkan Makna dI Sebalik Alif

gempak
Maliah Surip
15/08/2021
07:45 MYT
Sponsor Banner
Bila Legend Kembali, Siso Kopratasa Lontarkan Makna dI Sebalik Alif
Siso begitu namanya tersohor bersama Kopratasa yang disegani lewat lirik lirik puitis penuh makna dalam karya mereka.
Kini sekali lagi secara solo, Siso hadir dengan single yang diberi judul Alif. Seperti identiknya karya puitis Siso, Alif dimulakan dengan 10 baris puisi yang penuh inti dan makna.
Menurut Siso, Alif sebenarnya telah tertangguh selama dua tahun sebelum ia akhirnya dirilis.
Bercerita mengenai lagu ini, Alif ditulis oleh Alim Gutrah yang merupakan seorang lulusan Universiti Islam di Mesir. Lagu ini awalnya diberi judul Khalifah Insani sebelum ditukar menjadi Alif selepas penulis melihat 'ruangan' di tengah perkataan Khalifah.
Alim diketahui mengambil masa selama 5 minit untuk membina ruang jejak keseluruhan pengisian lirik setelah membaca kitab tafsir Al-Azhar tulisan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali Buya Hamka.
Dia juga terinspirasi dengan kehebatan Buya Hamka dalam melayarkan kedalaman tafsiran ayat 1-5 surah al- Baqarah lalu datang ilham untuk menulis lirik lagu Alif.
"Jadi lirik Alif berbentuk Ketuhanan dan sangat dalam maknanya. Saya menghayati seperti menghayati lagu puisi ketuhanan yang lain. Nyanyi pun lebih kepada melontar maksud nak disampaikan, bukan kepada gaya nyanyian berlebihan," ujar Siso.
Sementara itu gubahan muzik lagu Alif mendapat sentuhan Hamzan Hassan dari syarikat Dominant Studio Sdn.Bhd. Seterusnya rakaman lagu dan video oleh Kashfy Empire Sdn. Bhd.
Berbicara lanjut, figura yang telah menciptakan lebih 500 buah lagu ini mengaku Alif menjadi cerminan tersendiri kepada diri. Ia disifatkan sebagai mengingatkan kita kepada kewajipan di muka bumi.
"Juga sebagai penulis lirik, penyanyi, ayah, suami dan manusia kita ada peranan sebagai khalifah kecil semasa hidup," katanya.
Siso berharap lagu ini juga akan memberi makna tersendiri kepada dunia seni tanah air.
"Dan memberi sumbu baru kepada Kopratasa untuk kembali berbisa pada masa akan datang.
"Walaupun Siso muncul secara solo dengan lagu ini tapi bayang Kopratasa masih melekat," katanya lagi.
Pencipta lagu rasmi Wilayah Persekutuan ini kemudian menyifatkan dirinya sudah masuk kategori veteran apabila didukung banyak golongan muda dalam pembikinan Alif, termasuk dalam proses rakaman video.
"Saya kategori veteran dah. Rakaman vokal dan proses rakaman video dikendalikan oleh bekas pelajar saya.
"Tentunya ada kelainan dari segi teknologi dan pendekatanya. Namun itu tidak menyukarkan kerana saya respek kepada usaha mereka bagi menjayakan kemunculan Alif ini," tutup Siso.
Dalam video klip lagu Alif mempunyai banyak falsafah yang boleh dirungkaikan. Memaparkan seorang sang guru dan anak murid sedang mengaji al- Quran. Kitab al-Quran dijunjung tinggi dan panduan di dalam kehidupan seharian, penampilan khas Azmie Zanal Abdeen yang merupakan bekas pelajar seni tarian ASWARA sebagai penari silat dalam video klip itu.
Menyentuh tentang pelancaran lagu Alif , Luncai Emas selaku penerbit mengambil peluang sempena bulan ogos bulan kemerdekaan selari dengan pengertian dan mesej dalam lagu Alif ini untuk melancarkan video klip di saluran youtube Luncai Emas bermula 13 Ogos, audio rasmi Alif pula akan dimuat naik ke semua saluran digital mulai 20 Ogos.
Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan digital di platform streaming, Youtube dan iTunes. Harap mesej dapat disampaikan menerusi lagu baru puisi ‘alif’ nyanyian Siso Kopratasa ini bagi tatapan dan halwa telinga anak muda masa kini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live