Sekilas
- Empat rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotila dilaporkan dipintas rejim Israel ketika cuba membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
- Kesemua 29 peserta Malaysia dalam misi tersebut kini dipercayai ditahan dan ditempatkan di lokasi yang dikenali sebagai "penjara atas laut" milik Israel.
- Sehingga kini, 40 kapal flotila dengan hampir 350 aktivis antarabangsa telah dipintas oleh Israel semasa usaha menghantar bantuan ke Gaza.
Harapan delegasi Malaysia untuk membawa bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza akhirnya musnah apabila baki empat rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotila (GSF) dilaporkan dipintas rejim Israel malam ini.
Perkembangan tersebut disahkan menerusi paparan langsung di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) ketika misi berada di Zon Merah 2.
Menurut maklumat dipaparkan, beberapa kapal flotila berjaya dipintas pihak Israel termasuk kapal Zefiro yang dinaiki aktivis Malaysia, Noor Thanisah Mohamad Tajudin sekitar jam 7.44 malam.
Dalam masa sama, Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs bersama pembantu perubatan Chin Shiau Weai yang berada di atas kapal Alcyone turut dipercayai dipintas kira-kira jam 8.30 malam.
Seorang lagi peserta Malaysia, Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar yang menaiki kapal Don Juan pula dilaporkan dipintas tidak lama selepas itu.
Insiden tersebut sekali gus menjadikan keseluruhan 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu telah ditahan Israel.
Terdahulu, SNCC memaklumkan seramai 25 rakyat Malaysia sudah dipintas sejak semalam ketika kapal mereka berada di perairan antarabangsa.
Difahamkan, kesemua peserta kini dipercayai ditempatkan di lokasi yang digelar sebagai “penjara atas laut” milik Israel, namun keadaan semasa mereka masih belum dapat dipastikan.
Setakat ini, pihak SNCC juga masih belum menerima pengesahan rasmi mengenai status semua aktivis yang ditahan termasuk lokasi sebenar mereka dipindahkan selepas kapal flotila dipintas.
Menurut laporan terkini, sehingga jam 3 petang tadi, sebanyak 40 kapal flotila melibatkan hampir 350 aktivis kemanusiaan antarabangsa telah dipintas dan diceroboh pihak Israel ketika cuba menghantar bantuan ke Gaza.
Sumber: Kosmo!