Gaya Hidup
#BilaBadrulBicara: Kita Belum Menang, Jauh Sekali! Jadi Tolong Jangan Hanya Pentingkan Diri Sendiri
Sudah lama tidak menulis di ruangan ini. Tidak janggal, tapi kelainan itu tetap ada. Mungkin normal-normal (atau norma-norma?) baru membuatkan aku ingin mengubah sedikit cara aku menulis di sini.
Ya, penggunaan kata diri 'aku'. Mungkin bunyinya agak kasar, tapi aku rasa dia lebih merapatkan aku dengan sesiapa yang sudi nak membaca apa yang aku catatkan. Tapi kalau korang rasa ganti diri 'saya' lebih sesuai, tinggalkan saja di ruangan komen dan aku mungkin akan ubahkannya.
Apa yang lagi penting sebenarnya, aku ingin menulis sebagaimana aku bercakap. Aku ingin gunakan perkataan yang biasa aku luahkan, dan bukan nak menyedapkan ayat. Aku rasa itu sebenarnya lebih adil kepada Bila Badrul Bicara.
Anyway, aku nak mulakan normal baru untuk Bila Badrul Bicara ini dengan bercakap pasal Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Aku tak tahu apa pendapat orang lain, tapi aku sangat gembira. Gembira untuk mereka yang sangat-sangat memerlukan.
Aku sudah nampak beberapa gerai kecil sudah mula beroperasi. Aku sudah lihat kedai-kedai sudah mula dibuka kembali dan para pekerja sudah mula kembali bekerja. Yang penting, aku sangat berharap mereka semua patuh dengan SOP yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tapi kita pun tahu, dalam ramai yang memerlukan ini, ada juga segelintir manusia yang mengambil kesempatan. manusia sebeginilah yang sebenarnya menyusahkan lagi hidup orang-orang yang susah. orang lain gunakan PKPB untuk keluar mencari rezeki untuk menampung kehidupan, tapi kau guna PKPB untuk melepak jumpa member atau buah hati. Ada pulak yang siap buat party!
Apa masalah korang sebenarnya? Kerajaan bagi kelonggaran dengan mengadakan PKPB adalah untuk membantu golongan yang benar-benar terbeban. Tolonglah kasihani mereka yang benar-benar memerlukan peluang ini untuk mencari nafkah. Jangan sampai PKPB ditarik balik. Kasihan mereka.
Betul! ada ramai yang menderma makanan dan keperluan harian, tetapi mereka juga perlu wang ringgit untuk hal-hal lain. bayar sewa, bil air dan elektrik, beli ubat sakit pening batuk demam. Jadi tolonglah jangan pentingkan diri sendiri. Kau nak berborak dengan kawan, pelbagai Apps ada untuk berbual. WhatsApp, Skype, Wechat, FB chat. Kau rindu buah hati, ada telefon dan video call. Tak perlu keluar melepak di kedai atau atas jalan, atau dating pergi shopping mall!
Perkara ni, Insya-Allah, kalau kita lakukan dengan betul, kita akan berjaya kurangkan lagi wabak dan mungkin berjaya memutuskan rantaian wabak Covid-19. Menang?!? Selagi tidak ada ubat, selagi itu kita tak akan menang. Tapi sekurang-kurangnya, jika patuh dengan SOP dan peraturan, kita mampu untuk kurangkannya. Kita kena mulakan dengan normal-normal baru kehidupan.
Aku sebenarnya seronok sebab ramai kawan-kawan aku yang tak pandai masak, sekarang dah boleh masak. Macam-macam masakan yang dikongsi di media sosial. Kawan-kawan yang dulu asyik berjalan, sekarang dah pandai menghargai rumah sendiri. Kawan-kawan yang dulu baru nak mula berniaga, sekarang perniagaan online sudah semakin maju. That is a great sign!
Tolonglah jaga penjarakan sosial, basuh tangan dengan kerap, pakai penutup hidung dan mulut setiap kali keluar, bawa hand sanitizer, balik rumah pastikan mandi serta bersihkan badan. Ini normal-normal baru yang wajib kita ikuti dan lakukan setiap hari. Jangan pentingkan diri sendiri dan sentiasa ingat pada orang tersayang!
Ingatlah pada Atuk, Nenek, Ibu dan Ayah kita yang sudah berusia, yang jika dijangkiti wabak ini, peluang untuk pulih kembali agak tipis. Selalu ingat pada normal-normal baru.
Semoga kita semua sentiasa selamat dan kekal tenang. Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Google
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video