Pelakon Chomell Fana mendedahkan dirinya kini sedang hamil enam bulan.

Kata pemilik nama sebenar Noorhanis Farhana Shaharuddin, 36, itu, suaminya yang juga penceramah bebas memberikan izin untuk terus berlakon dengan syarat tertentu.

"Alhamdulillah, saya jumpa suami dalam majlis agama. Dia bagi kebenaran berlakon dengan syarat saya jaga diri.

"Dia ambil berat penampilan saya dan beri ruang kepada saya agar perlahan-lahan berubah.

"Ini drama terakhir sebelum saya berehat," katanya.

Chomell yang sedang menjalani penggambaran drama Chinta Arjuna bagaimanapun enggan mendedahkan identiti sebenar suaminya.

Untuk rekod, Chomell mempunyai seorang anak angkat bernama Razzyn Mikhail yang kini berusia tujuh tahun.

Pada masa sama, bertanya tentang kehilangannya dari arena lakonan sekian lama, dia yang memiliki single berjudul Andai Hatiku Bersuara mendedahkan bahawa pernah berhadapan masalah kemurungan akibat disihir seseorang.

Menurutnya, pelbagai gangguan yang dialami membuatkan dia seperti berputus asa untuk berlakon dan menyanyi.

"Bukan saya tak nak berlakon, tetapi ada saja halangan ditempuhi masa nak masuk set penggambaran.

"Ketika dalam perjalanan pergi set, saya kemalangan, tak jumpa set dan macam-macam lagi kejadian lain terjadi," ceritanya.

Tambah Chomell, dia kembali aktif dua tahun lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan setakat ini sudah membintangi enam buah drama serta telefilem.