Malaysia merekodkan sebanyak 1,309 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menambah daripada 1,309 kes, hanya satu kes import direkodkan.

"Kuala Lumpur melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 493 kes (37.7 peratus) yang mana 473 kes (95.9 peratus) adalah daripada kluster di tempat kerja (tapak pembinaan).

"Sabah pula sebanyak 290 kes (22.2 peratus) dan Selangor sebanyak 238 kes (18.2 peratus).

"Sebanyak 75 kes (5.7 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara membabitkan Kluster Tembok (38 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (14 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (13 kes), Kluster PTS Tawau (empat kes), Kluster Penjara Reman (tiga kes), Kluster GK Tawau (dua kes), dan Kluster Penjara Sandakan (satu kes)," katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilaporkan Berita Harian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media pada Ahad memaklumkan, jumlah kes sembuh baharu adalah sebanyak 1,333 dengan jumlah kumulatif 52,647.

KKM juga merekodkan sebanyak tiga kematian masing-masing di Ipoh, Seremban dan Sabah.

Berikut status terkini COVID-19 setakat 29 November 2020:

Jumlah sembuh baru: 1333 kes
Jumlah kumulatif discaj: 52647 kes (81.6%)

Jumlah kes baru: 1309 kes
Jumlah kumulatif: 64485 kes
Jumlah kes aktif: 11481 kes

Kes tempatan: 1308 kes
Kes import: 1 kes

Jumlah kematian: 3 kes (2 WN, 1 BWN)
Jumlah kumulatif kematian: 357 kes (0.55%)

Jumlah kes di ICU: 116 kes
Pesakit intubated: 42 kes



Kredit Foto: CDC