Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuri perhatian wargamaya apabila dilihat keluar membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya.

Menerusi laman sosial Twitter, Muhyiddin memuat naik empat keping foto sewaktu sedang meninjau barangan yang boleh dibeli.

“Pagi tadi saya sempat turun ke sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Cari barang-barang sedikit sambil melihat amalan orang ramai di pasaraya.“Alhamdulillah, ramai sudah peka mengenai keperluan penjarakan sosial. Barang-barang di pasar raya pun penuh. Jadi kita tidak perlu panik,” tulisnya menerusi satu kicauan.

Menerusi foto-foto tersebut, Muhyiddin tampil memakai topeng muka dan diperiksa suhu badan oleh petugas pasar raya sebelum dibenarkan masuk.

Hasil tinjauan Gempak di Twitter, rata-rata wargamaya memuji tindakan Muhyiddin yang turun padang melihat sendiri keadaan di pasar raya.

Malah, ramai yang memanggil beliau dengan gelaran ‘abah’ turut mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Perdana Menteri kelapan itu.

“TSMY beli barang pun tak tengok phone atau rujuk kertas, walaupun beliau seorang lelaki beliau tahu nak beli apa untuk keperluan rumah dan seisi keluarga,” kata seorang wargamaya.

“Kalau Tan Sri power, cari lah roti Gardenia,” usik seorang wargamaya.



“Jaya Grocer atau Village Grocer. Memang la banyak makanan. Barang high end dan import banyak. Tak semua rakyat Malaysia mampu shopping kat situ. Cuba pegi pasar borong ke, kedai runcit kat kampung Kak Kiah tengok. Cari roti kat seminggu tak dapat-dapat,” luah seorang wargamaya.

“Bagusnya Tan Sri jadi contoh pada rakyat. Cuba Tan Sri cari kedai jual paip pvc. Ada buka tak? Mohon pertimbangan untuk buka kedai perkakasan Tan Sri,” cadang seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah mendapat hampir 21,000 ulang kicau dan 45,000 tanda suka daripada warga Twitter.