Hiburan
Da’i Syed Terbuka Terima Tawaran Berlakon, Tapi Hanya Mahu Watak Islamik - “Saya Masuk Dalam Industri Ini…”
Pelakon dan pendakwah bebas, Da’i Syed meluahkan rasa syukur apabila dia masih diberi kepercayaan untuk berlakon dalam filem seram berjudul Dajal Satu Malam Di Pedajal.
Tiada tawaran
Menurut Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail, dia tidak menerima tawaran dalam bidang seni selepas terpalit isu di mahkamah tahun lalu.
“Alhamdulillah filem ini adalah pembuka rezeki buat saya bagi tahun 2025. Sejujurnya, saya memang tiada tawaran kerja sebelum ini.
“Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih buat MIG dan pengarah kerana sudi memanggil saya. Mungkin ini juga rezeki anak dan isteri saya. Saya hanya menumpang rezeki mereka,” katanya kepada Gempak.
ARTIKEL BERKAITAN: "Hidup Saya Sukar, Memang Langsung Tiada Job" - Da'i Syed Iqmal
ARTIKEL BERKAITAN: Da'i Syed Tak Mahu Anak Perempuan Membesar Dalam Keadaan Trauma, Sedih - "Saya Nak Mulakan Hidup Baharu"
ARTIKEL BERKAITAN: Berdepan Ujian Getir, Da'i Syed Bersyukur Dikurniakan Isteri Sebaik Hana Ismail - "Dia Sentiasa Ada Dengan Saya"
Syed berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Dajal Satu Malam Di Pedajal yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fokus perniagaan
Sentiasa terbuka untuk tawaran berlakon namun memilih watak, Syed bagaimanapun kini lebih memberikan fokus dalam bidang bisnes bersama isterinya yang juga pengacara, Hana Ismail.
“Walaupun tiada tawaran dalam bidang seni, saya masih ada perniagaan yang menjual batu permata daripada Mesir. Saya dan isteri sedang giat jalankan bisnes tersebut.
“Walaupun Allah tidak memberikan rezeki di cabang ini, dia akan bagi di cabang lain. Tangan saya masih terbuka untuk menerima rezeki dalam bidang seni.
“Namun saya memilih tawaran iaitu watak ustaz ataupun pendakwah. Saya masuk dalam industri ini dari tahun 2016 untuk sampaikan dakwah dalam nyanyian atau lakonan,” katanya lagi.
Pada Ogos lalu, Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Seksyen, Shah Alam kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Aslam Zainuddin membenarkan permohonan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed yang sudah meringkuk selama 21 hari di Penjara Kajang, dibebaskan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Must-Watch Video