Gaya Hidup
“Dalam Rezeki Kita Ada Rezeki Orang Lain Juga” - Pemuda Ini Jadi Pengurus Kebajikan Rumah Anak Yatim Seawal Usia 23 Tahun
Jika kita ada niat untuk membantu seseorang, pastinya usaha itu dipermudahkan. Usaha seorang anak muda ini untuk menjadikan aktiviti kesukarelawan sebagai kerjaya seharusnya menjadi inspirasi.
Bagi Muhammad Syafiq Mobin, 33, dia terdedah pada kerja-kerja sukarelawan pada usia muda lagi. Malah minat ini dikembangkan sehingga tertubuhnya sebuah rumah anak yatim.
“Penubuhan Rumah Anak Yatim & ASNAF Raudhatul AlFaeez dicetuskan oleh pengetua, Ummi Zahrina Mat Saat pada 2010 setelah diamanahkan dengan sebidang tanah dah sebuah rumah yang telah diwakafkan oleh seorang budiman.
“Semenjak ditubuhkan saya terlibat secara aktif dalam membantu Ummi Zana dengan hal-hal pentadbiran dan seterusnya dilantik sebagai Pengurus kebajikan seawal 23 tahun.
“Penglibatan saya adalah secara sukarela di mana saya sendiri ada kerjaya tetap yang lain dan terkini bekerja sebagai Pembantu Pengurus bahagian pemasaran, komunikasi & tangunggajawab sosial korporat (CSR) di salah sebuah perbankan islam tempatan,” kata Syafiq ketika dihubungi Gempak.
Ketika ini, Rumah Anak Yatim & ASNAF Raudhatul AlFaeez menempatkan 30 orang pelajar lelaki berumur 5 tahun sehingga paling dewasa berumur 16 tahun.
Pemilihan anak-anak yatim ini pula diteliti berdasarkan latar belakang setiap pelajar yang terdiri dari golongan miskin tegar, yatim, yatim piatu atau golongan ASNAF.
“Kami menempatkan jumlah maksimum seramai 30 orang pelajar pada satu-satu masa bagi memudahkan proses pentadbiran dan mengawal selia keperbadian dan pembelajaran setiap pelajar.
“Sebagai pengurus kebajikan saya bertanggungjawab dalam memastikan hal-hal kebajikan anak-anak jagaan di AlFaeez yang berkaitan dengan pengumpulan dana kewangan dan barangan atau sumbangan.
“Setiap kali ada keperluan tambahan atau ad hoc saya akan jalankan aktiviti kutipan dana dari orang awam bagi mendapatkan sumbangan tambahan bagi menampung perbelanjaan dan memastikan kebajikan setiap penghuni terjaga.
“Setiap pelajar juga didaftarkan ke sekolah sama seperti anak-anak orang lain sama ada di sekolah menengah atau sekolah rendah bagi memastikan mereka tidak tertinggal dari segi akademik,” jelasnya.
Menyanjungi nilai kekeluargaan dan keakraban yang ditonjolkan oleh setiap penghuni rumah walaupun datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza, Syafiq mahu lebih ramai anak-anak muda untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kesukarelawan.
“Kita tak perlukan wang ringgit yang banyak bagi memulakan sesuatu, cukup dengan niat yang baik dan usaha berterusan in sha Allah dipermudahkan dan diberi jalan.
“Bagi anak muda yang ingin menceburkan diri, pilih sesuatu yang anda minat atau gemari untuk diceburi sama ada alam sekitar, gelandangan, pemerkasaan wanita dan sebagainya dan teruskan dengan usaha.
“Saya percaya, bersama-sama kita dapat membuat seluruh dunia tersenyum. Harus kita ingat dalam rezeki kita ada rezeki orang lain untuk dikongsi bersama,” jelas Syafiq menutup bicara.
Buat masa ini, mereka menetap di penempatan sementara di Keramat AU4 semenjak rumah asal hangus dijilat api dah musnah hampir 90% pada tahun November 2018.
Mereka berhasrat dan berharap untuk pindah semula ke rumah asal pada tahun 2021.
Bagi yang ingin menyumbang boleh salurkan sumbangan ke akaun rasmi Pengurusan Raudhatul Al-Faeez di akaun Maybank - 562508510350.
Must-Watch Video