Penyanyi Shiha Zikir menafikan persembahannya menerusi lagu Aewo ketika final Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) pada Ahad lalu mempunyai unsur syirik seperti yang didakwa segelintir netizen.

Shiha, 35, menjelaskan konsep persembahannya pada malam itu merupakan kesinambungan daripada video muzik lagu Aewo dan langsung tidak mempunyai kaitan dengan unsur syirik.

Bahkan, Shiha juga terkejut apabila timbul dakwaan susun atur set persembahannya pada AJL36 dikaitkan dengan dajjal seperti yang tular dalam media sosial.

"Mana mungkin pihak stesen televisyen mahu melepaskan konsep persembahan sebegitu (unsur syirik) kalau benar saya mahu mengetengahkan persembahan yang boleh memesongkan akidah.

"Sebenarnya ada jalan cerita berdasarkan muzik video Aewo. Kalau penonton tidak faham apa yang cuba saya sampaikan, mereka akan berfikir secara negatif," katanya.

Melanjutkan bicara, Shiha berkata dia sekadar mahu menyelitkan unsur pementasan dan lakonan mengikut koreografi yang telah bincangkan.

"Disebabkan kekangan masa untuk membuat persembahan berdurasi sekitar empat minit, apa yang kami boleh lakukan adalah mempamerkan konsep tarian (koreografi).

"Saya mahu tampil dengan konsep ala teater dan lakonan," katanya.

Pada masa sama, Shiha juga mengakui mungkin konsep persembahan yang dibawakan pada malam AJL36 lalu itu tidak sesuai untuk rakyat Malaysia atas dasar sensitiviti agama.

"Mungkin persembahan sebegini tidak sesuai di Malaysia. Pada pandangan saya, orang yang menonton, mereka akan fikir perkara negatif dahulu.

"Apa-apa pun saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang saya bawakan bersama Noki walaupun pulang dengan tangan kosong," katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial konspirasi oleh netizen apabila mendakwa konsep persembahan Shiha pada malam AJL36 lalu mempunyai unsur syirik dan menyesatkan.