Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas bom buatan sendiri meletup semasa dia cuba menceroboh masuk ke kawasan bangunan sarang burung walet di Bukit Kuah, Kampung Pemberian, Manik Urai, Kuala Krai, Kelantan pada Jumaat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima panggilan berkait kejadian itu pada jam 8.25 pagi.

BERITA TRENDING: Bom Perang Dunia Kedua Ditemui, Penggambaran Filem Marvel Terhenti

Sejurus tiba di lokasi anggota bertugas telah menjumpai seorang lelaki berusia lingkungan 60-an dalam keadaan terbaring dan perutnya terburai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki tersebut masuk ke kawasan itu selepas bertindak memotong pagar bahagian belakang bangunan terbabit.

Ujarnya, mangsa kemudian telah mengeluarkan objek disyaki bom tangan buatan sendiri bagi meletupkan pintu hadapan bangunan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, bom itu meletup secara tiba-tiba menyebabkan mangsa maut di lokasi. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.

Siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan bekas kontraktor binaan yang diupah oleh pemilik bangunan untuk menyiapkan premis berkenaan.

"Difahamkan, terdapat hutang di mana pemilik bangunan tersebut masih belum menjelaskan bayaran upah kepada mangsa yang menyebabkan berlaku ketidakpuasan hati," katanya.

Menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan di lokasi menjumpai lima unit bom buatan sendiri.

"Daripada jumlah itu tiga unit bom jenis besi dan dua unit PVC. Bagaimanapun, satu unit bom jenis besi telah meletup dan mengenai mangsa.

BERITA TRENDING: Sekolah Anak Aaron Aziz Terima Ancaman Bom - “Kekal Tenang Jangan Jadi Kancheong”

"Kes disiasat bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan. Siasatan menyeluruh akan terus dijalankan berhubung kes ini," katanya

Sumber foto: Kosmo! Online
Sumber: Sinar Harian