Hiburan
Enggan Dibelenggu Isu Panas, Aliff Aziz Elak Kontroversi
Tidak mahu terus dibelenggu dengan kisah panas seperti yang pernah berlaku sebelum ini, penyanyi Aliff Aziz mengelakkan diri daripada terpalit dengan sebarang kontroversi.
“Dalam jangka masa setahun selepas saya membuat kemunculan semula, saya tidak melibatkan diri dengan mana-mana isu panas dan kontroversi. Saya banyak mengambil pengajaran menerusi apa yang pernah terjadi dulu.
“Jadi, saya merasakan yang sekarang merupakan masa yang sesuai untuk saya tampil dengan album terbaru yang berjudul Rebirth. Album ini juga menjadi petanda kematangan saya,” kata Aliff kepada Astro Gempak.
Mengakui masih ada orang yang bercakap mengenai kesilapan lalu yang pernah dilakukan oleh dirinya, Aliff mengambil pendekatan mudah dengan tidak mengendahkan perkara tersebut.
“Apabila saya menjauhi kontroversi, ada pula pihak yang bercakap perihal cerita lama saya yang terjadi beberapa tahun lalu. Mula-mula saya ambil kisah, tapi lama kelamaan, saya sudah tak peduli.
“Bahkan saya rasa sangat gembira kerana sudah tiada cerita baru mengenai saya. Bagi saya, cerita lama biarlah berlalu pergi dan dijadikan pengajaran sahaja,” katanya lagi.
Merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Bella Astillah pada tahun ini, Aliff mengakui yang mereka kini sedang melakukan persiapan hari bahagia mereka.
“Persiapan sedang dilakukan oleh kami berdua. Namun begitu, saya masih belum boleh umumkan tarikh spesifik hari bahagia kami. Insya-Allah, bila kedua-dua pihak sudah bersedia, saya akan beritahu kepada media dan peminat” katanya lagi.
Menerusi album terbarunya yang berjudul Rebirth, Aliff dapat bekerjasama dengan beberapa orang komposer berbakat besar seperti Faizal Tahir, Tun Teja, Kuncidemak dan ramai lagi. Selain itu, Aliff juga ada berduet dengan beberapa orang artis wanita seperti Siti Nordiana, Kilafairy dan Emma Suhaimi.
Must-Watch Video