Selebriti dan pempengaruh media sosial terkenal Indonesia, Atta Halilintar mengaku bukan mudah menjadi seorang bapa kepada dua anak perempuan di usianya yang masih muda.

Tanggungjawab Jaga Anak Perempuan

Gembira dengan kehadiran Ameena Hanna Nur Atta dan Azura Humaira Nur Atta, selebriti berusia 29 tahun ini berkata dia masih belajar untuk menjadi bapa yang terbaik untuk anak-anaknya.

“Saya sangat senang (gembira) adanya Ameena dan Azura. Ramai yang bercakap mengenai mereka di Malaysia dan Indonesia. Saya masih banyak perlu belajar untuk menjaga anak perempuan.

“Sebab anak perempuan ini tanggungjawab atas ayahnya sampai bernikah nanti. Memang saya tengah belajar jadi bapa yang baik untuk mereka berdua.

“Memang bukan mudah, sebab saya pun masih 29 tahun… masih daddy muda la. Jadi, saya akan terus belajar menjadi yang terbaik,” kata Atta kepada Gempak.

Atta ditemui ketika sidang media pelancaran lagu kolabarasi pertamanya dengan penyanyi rap Malaysia Kidd Santhe dan Saixse berjudul Mantap Cuy di Flour, Fire & Stone, Petaling Jaya pada Isnin.

Terbuka Berkongsi Mengenai Ameena

Dalam pada itu, Atta memberitahu dia terbuka berkongsi mengenai Ameena di laman sosial kerana ramai peminat mendoakan dan menyayangi puteri sulungnya.

“Ameena ini dari lahir lagi, nenek-nenek dan atok dia terkenal di Indonesia, jadi gambar dan video dia banyak dirakam.

“Selagi orang mendoakan, dan suka dengan Ameena… kalau dulu posting di laman sosial orang bertanyakan tentang saya, sekarang setiap posting saya orang bertanya mana Ameena.

“Orang mencari Ameena… memang Ameena mempunyai aura sendiri di Indonesia. Dia menjadi baby yang paling banyak orang doakan dan sayang la,” ujarnya.

Ameena Petah Bercakap

Sementara itu, Atta turut memberitahu Ameena petah dan bijak berkata-kata kemungkinan disebabkan anaknya melihat apa yang dia lakukan setiap hari.

“Mungkin dia tengok saya bercakap depan kamera, buat vlog… dia mungkin belajar. Saya tak berapa percaya dengan DNA kerana bagi saya DNA itu dari segi fizikal.

“Tapi kalau anak itu melihat orang tuanya menyanyi, dia akan menyanyi juga, apa saja orang tuanya buat, dia akan ikut,” katanya.

Untuk rekod, Atta mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aurel Hermansyah pada 3 April 2021 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan bernama Ameena, 2 tahun dan Azura, 5 bulan.

BERITA TRENDING: Rakam Aksi Sentuh Hajar Aswad & Kaabah, Netizen Sifatkan Atta Halilintar Buat Content Bukan Umrah

BERITA TRENDING: Anak Baru 2 Tahun, Atta Halilintar & Aurel Berikan Kereta Mewah Hadiah Hari Jadi