Sebuah filem yang mengangkat kisah kejayaan seorang jaguh Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Like Hou berjudul Gold sedang menjalani proses penggambaran.

Filem terbitan Astro Shaw itu menampilkan pelakon hebat seperti Jack Tan sebagai watak utama atlet berkenaan serta Farid Kamil, Wan Raja dan ramai lagi.

Gold mengisahkan Cheah Liek Hou merupakan seorang pemain badminton yang luar biasa dengan rekod tidak terkalahkan hasil daripada kemahiran yang sangat tinggi. Namun, sebelum beliau memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pelbagai rintangan yang dihadapi.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara merangkap Penerbit Eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw komited dalam menghasilkan filem berkualiti sekali gus memperkasakan industri filem tempatan ke peringkat global.

“Kali ini kami akan menampilkan kisah berlatarkan kesukanan yang berdasarkan daripada kisah benar pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou dan rasa amat teruja untuk mempersembahkannya kelak.

"Kami percaya semangat kecekalan dan kejayaan membanggakan Cheah Liek Hou harus diangkat dan dijadikan inspirasi seluruh masyarakat,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah Gold Adrian Teh pula Gold adalah satu naskah yang berbeza dari Act 2 Pictures.

“Selepas menghasilkan filem-filem aksi, saya turut tertarik untuk menghasilkan naskhah dalam genre sukan dan drama patriotik. Seperti filem Paskal The Movie dan Malbatt: Misi Bakara, filem Gold juga membawakan elemen-elemen yang boleh membangkitkan kebanggaan Malaysia.

“Filem ini masih lagi dalam sesi penggambaran dan kami tidak sabar untuk menayangkannya nanti,”ujarnya.

Gold mengisahkan Cheah Liek Hou merupakan seorang pemain badminton yang luar biasa dengan rekod tidak terkalahkan hasil daripada kemahiran yang sangat tinggi. Namun,semasa puncak kariernya, beliau didapati menghidapi kebas saraf brakial. Tanpa semangat berputus asa, Liek Hou terus berjuang dan menyertai kejohanan badminton kurang upaya dan berjaya memenangi kejuaraan dunia dengan semangat atlet yang tinggi.

Namun, kehilangan ayah yang menjadi tonggak utama sokongan beliau sepanjang hidup telah menjadi satu dugaan besar buatnya. Beliau terpaksa menghadapi cabaran hidup dengan penuh keberanian.

Apabila Sukan Paralimpik mengumumkan badminton merupakan antara sukan yang akan dipertandingkan di Tokyo, Liek Hou bangkit semula dengan bantuan Rashid Sidek, seorang pemain badminton legenda yang menjadi jurulatihnya.

Dibimbing oleh Rashid Sidek, Liek Hou berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram dan mengatasi pelbagai halangan untuk memenangi Sukan Paralimpik, akhirnya mencipta sejarah penting bagi negara Malaysia dengan memenangi pingat emas.