Filem One Two Jaga arahan Namron yang kini masih ditayangkan di pawagam bukan saja menerima pujian penonton daripada aspek penceritaan yang berani tapi lebih bermakna ia membawa erti merdeka sebenar pada karyawan filem.

Pandangan itu dinyatakan pengarah filem terkenal, Nasir Jani yang melihat filem tersebut adalah lambang kemerdekaan buat karyawan filem pada masa ini yang bebas dalam berkarya.

"Walaupun ia bukan cerita mengenai 31 Ogos tapi ia menggambarkan konsep merdeka dalam berkarya. Apa yang Namron buat bukan ketika zaman kerajaan terdahulu yang boleh diterima tapi ia berjaya ditayangkan," katanya kepada Astro Gempak.



Ujarnya, dari aspek penonton seharusnya memerdekakan minda dengan mengakui negara ini bukan seratus peratus seperti apa yang dibayangkan tapi banyak perkara perlu diperbetulkan.

"Karyawan filem sememangnya perlu memerdekakan diri dengan menghasilkan filem yang relevan dan ada isu seperti rasuah dan sebagainya.

"Jika filem lama, saya meminati cerita Matinya Seorang Patriot arahan Datuk Rahim Razali.

"Dalam filem itu, kita mendapat sokongan ekononi daripada kerajaan sepatutnya merdeka sebab berjaya dari masalah ekonomi tapi perangai kita mengakibatkan walaupun kerajaan bantu tapi bergaduh sama sendiri," katanya.

Nasir yang terkenal dengan filem Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta '87 mahu karyawan filem tempatan agar lebih berterus terang dan jujur dalam diri untuk menghasilkan filem yang ada 'isi' buat penonton.

"Bagi karyawan yang belajar filem maka jadilah One Two Jaga. Nasihat saya pada karyawan filem yang ingin membuat filem patriotik atau apapun genre, tolonglah jangan buat filem macam Malay Regiment yang tidak menimbulkan semangat kemerdekaan.

"Baik karyawan muda atau senior, buatlah filem sejujur mungkin," katanya yang bercita-cita mahu menghasilkan filem baru mengetengahkan isu cetak rompak.

Teks oleh: Elrafaei Sapi